POLYCC Hantar Wakil ke Piala Dunia ROBOFIRA Ke-31 di Kanada, Usaha Bida Kejohanan di Putrajaya Tahun Depan

14 Julai 2026 | Putrajaya
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) menjadi pemacu kepada kelahiran pencipta teknologi tempatan yang mampu bersaing di pentas antarabangsa serta memenuhi keperluan industri pembuatan masa depan.
Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim berkata penyertaan pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) dalam Piala Dunia dan Sidang Kemuncak Robo FIRA Ke-31 (31st FIRA RoboWorld Cup & Summit 2026) membuktikan ekosistem TVET negara semakin berupaya melahirkan bakat bertaraf dunia.
Beliau berkata matlamat KPT bukan lagi sekadar menghasilkan pengguna teknologi, sebaliknya graduan yang mampu mereka bentuk, membangunkan dan menghasilkan inovasi sendiri bagi menyokong pembangunan sektor perindustrian negara.
"Kita tidak mahu lagi hanya menjadi pengguna teknologi, sebaliknya anak-anak inilah yang akan menjadi pencipta dan individu penting dalam memacu sektor pembuatan kelak," katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Kontinjen Malaysia ke kejohanan berkenaan di ruang legar bangunan KPT petang tadi.
YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin berkata keyakinan masyarakat terhadap pendidikan TVET turut diterjemahkan menerusi peningkatan kira-kira 230 peratus kemasukan pelajar baharu ke POLYCC bagi sesi pengambilan tahun ini.
Malaysia akan diwakili tiga (3) pasukan melibatkan 10 orang peserta terdiri daripada enam (6) orang pelajar dan empat (4) orang pensyarah pengiring daripada Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Politeknik Port Dickson (PPD) dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) pada kejohanan yang berlangsung di Ontario, Kanada bermula 17 hingga 23 Julai ini.
Kontinjen negara akan bertanding dalam kategori Piala Huro (HuroCup), Udara FIRA (FIRA Air) dan Cabaran Kereta Autonomi (Autonomous Car Challenge) yang menguji keupayaan peserta dalam bidang kejuruteraan, pengaturcaraan, kecerdasan buatan (Artificial Intelligence - AI), integrasi sistem dan penyelesaian masalah autonomi.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah berkata selain memburu kejayaan dalam pertandingan, Malaysia turut membawa misi membida hak penganjuran Robo FIRA 2027 untuk diadakan di Putrajaya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK, Haji Ulaimi Yahya; Timbalan Ketua Pengarah (Governan) JPPKK, Ts. Abdul Razak Sabtu; serta Pengarah Kanan (Akademik) JPPKK merangkap Presiden Cawangan FIRA Malaysia (FIRA Malaysia Chapter) Dr. Haji Mohd Daud Isa.
- Last updated on .
- Hits: 32
