Kunjungan Hormat Universiti Malaya: Melakar Hala Tuju Ke Arah Kecemerlangan

15 Julai 2026 I Putrajaya
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Universiti Malaya (UM) yang diketuai oleh Naib Canselor UM, YBhg. Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman.
Pertemuan ini menjadi platform bagi pihak UM memperkenalkan barisan pengurusan universiti, di samping berkongsi hala tuju strategik institusi yang selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi negara serta agenda Malaysia MADANI. UM turut berkongsi inspirasi untuk terus melakar kecemerlangan dengan menjadikan sasaran berada dalam kelompok 50 universiti terbaik dunia sebagai pemacu hala tuju strategik universiti.
Turut dibentangkan perkembangan projek dan inisiatif terkini UM yang merangkumi bidang akademik, penyelidikan, inovasi dan pengantarabangsaan sebagai usaha memperkukuh kecemerlangan institusi serta meningkatkan daya saing pendidikan tinggi negara di peringkat global.
Sesi ini turut membuka ruang perbincangan dalam mempererat hubungan strategik antara KPT dan UM, di samping menggembleng kepakaran kedua-dua pihak bagi memperkukuh kecemerlangan pendidikan tinggi negara agar terus relevan, progresif dan memenuhi keperluan masa hadapan.
- Last updated on .
- Hits: 82
