Persediaan Hadapi Impak Krisis Asia Barat: KPT Gerakkan Tujuh Langkah Penjimatan dan Tekankan Kebajikan Pelajar

Persediaan Hadapi Impak Krisis Asia Barat: KPT Gerakkan Tujuh Langkah Penjimatan dan Tekankan Kebajikan Pelajar

8 April 2026 | Putrajaya

Kesediaan mental warga Kementerian dalam mendepani impak krisis geopolitik Asia Barat kini menjadi fokus utama naratif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Langkah ini diambil bagi memastikan penjawat awam bersiap siaga menghadapi sebarang keputusan sukar kerajaan ekoran ketidaktentuan ekonomi dunia yang memberikan kesan langsung kepada negara.

Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim, menegaskan perkara tersebut ketika merasmikan program "Sesi Pelaziman Minda: Persediaan Menghadapi Krisis" yang berlangsung di Dewan Za’ba KPT petang tadi.

Program ini menggariskan keperluan setiap warga KPT untuk segera menyesuaikan gaya hidup serta mengamalkan budaya penjimatan yang lebih drastik bagi mengurangkan beban subsidi kerajaan.

Berikut merupakan tujuh (7) langkah penjimatan yang akan dilaksanakan oleh KPT bagi mendepani krisis tersebut:

1. Penyelarasan Suhu Pendingin Hawa: Suhu di pejabat akan ditetapkan pada 24 darjah Celsius bagi memastikan penggunaan tenaga elektrik yang lebih efisien dan menjimatkan kos utiliti.

2. Pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR): Polisi BDR secara bersasar yang dijadualkan bermula pada 15 April 2026 bertujuan untuk mengurangkan penggunaan petrol secara kolektif.

3. Mesyuarat Secara Hibrid: Pelaksanaan mesyuarat secara hibrid diperkasakan bagi meminimumkan kos pengangkutan dan logistik kakitangan Kementerian.

4. Penggunaan Fasiliti Awam: Penganjuran sebarang seminar atau bengkel wajib menggunakan fasiliti premis awam, Institut Latihan Awam (ILA), atau universiti berbanding hotel bagi meminimumkan perbelanjaan kerajaan.

5. Kawalan Tugasan Luar Negara: Bilangan pegawai untuk bertugas rasmi ke luar negara akan dikawal ketat dan hanya dibenarkan bagi urusan yang benar-benar memberikan implikasi kritikal kepada negara.

6. Pentadbiran Tanpa Kertas: Urusan pentadbiran dan edaran dokumen tanpa kertas melalui pengukuhan sistem DDMS diperkasakan sepenuhnya bagi menjimatkan kos operasi alat tulis.

7. Kawalan Ubah Suai Pejabat: Sebarang permohonan untuk mengubah suai pejabat atau menyewa premis baharu akan dikawal selia dan tidak dibenarkan kecuali bagi perkara yang benar-benar mendesak.

Selain langkah penjimatan tersebut, YBhg. Datuk Dr. Anesee turut mengarahkan pihak pentadbir universiti untuk memantau kebajikan pelajar secara proaktif bagi memastikan pengajian mereka tidak terjejas akibat kenaikan kos sara hidup.

KPT berharap agar semua penjawat awam kekal tenang serta berdaya tahan dalam menyesuaikan diri dengan sebarang bentuk perubahan dasar ekonomi Kerajaan demi kestabilan dan kelestarian ekonomi negara.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; serta para pegawai kanan Kementerian, jabatan dan agensi. 

  • Last updated on .
  • Hits: 150
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 09 April 2026, 08:49:04.

logo-sirim