RPTM 2026-2035: KPT Pacu 208 Inisiatif 'Game Changer' Pendidikan Tinggi Negara

10 April 2026 | Sepang, Selangor
Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 menjadi kerangka besar yang akan mengemudi hala tuju sektor pendidikan negara bagi tempoh sepuluh tahun yang akan datang.
Justeru itu, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa sebanyak 208 inisiatif strategik telah dikenal pasti untuk dilaksanakan dalam tempoh tersebut bagi memastikan setiap bahagian mempunyai peranan yang jelas.
Berucap merumuskan Program Pengukuhan Hala Tuju Pendidikan Tinggi 2026 dan RPTM 2026-2035 di sini semalam, beliau menetapkan bahawa elemen 'game changer' sebagai kata kunci utama dalam pelaksanaan rancangan tersebut, bagi memastikan berlakunya anjakan besar yang mampu merubah masa depan pendidikan negara.
Transformasi itu ujar beliau, tidak hanya tertumpu kepada pembaharuan semata-mata, sebaliknya mengutamakan proses kesinambungan daripada pelan sedia ada bagi menjamin kelancaran sistem penyampaian.
Aspek 'kejelasan visi' (clarity of vision) menjadi penekanan utama YB Menteri bagi memastikan setiap sasaran yang dirangka dapat dicapai dengan tepat tanpa sebarang kekaburan, di samping menerapkan konsep 'creative destruction' yang menuntut kesediaan warga pendidikan untuk meninggalkan amalan lama yang tidak lagi relevan demi mewujudkan sistem yang lebih progresif.
Selain itu, institusi TVET KPT iaitu Politeknik dan Kolej Komuniti turut akan diperkasa sebagai sebahagian daripada keseluruhan sistem pendidikan tinggi negara bagi memastikan institusi berkenaan berkembang selari dengan universiti tempatan.
Pada masa yang sama, KPT juga giat memperkukuh diplomasi pendidikan di peringkat global menerusi penubuhan Suruhanjaya Bersama (Joint Commision - JC) dengan negara-negara strategik seperti Rusia, Turki dan China.
Dalam pada itu, kejayaan penganjuran Festival Idea (FOI) menjadi bukti keupayaan Malaysia dalam menerajui wacana intelektual peringkat antarabangsa sehingga menjadi model rujukan kepada negara-negara jiran dan rantau ASEAN.
Oleh itu, beliau menyeru seluruh warga Kementerian untuk bekerja sebagai satu pasukan yang teguh serta istiqamah bagi memastikan kejayaan agenda besar negara demi kepentingan generasi akan datang.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan KSU (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan KSU (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; para pegawai kanan KPT; serta kepimpinan tertinggi Jabatan, Agensi, Universiti Awam dan Politeknik.
- Last updated on .
- Hits: 449
