Perkampungan SUKIPT 2026 di UM Himpun 7,697 Atlet IPT, Platform Terbaik Bina Jiwa Juara

Perkampungan SUKIPT 2026 di UM Himpun 7,697 Atlet IPT, Platform Terbaik Bina Jiwa Juara

28 Ogos 2026 | Kuala Lumpur

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, YBrs. Encik Ahmad Rizal Adnan hari ini merasmikan Perkampungan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 di Las Palmas Canseleri, Universiti Malaya (UM), yang menghimpunkan kontinjen daripada pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bagi menghadapi kejohanan edisi ke-7 itu.

Perkampungan berkenaan menjadi ruang persediaan atlet selain tempat atlet (IPT) awam, swasta dan negeri daripada pelbagai latar belakang berkumpul, berinteraksi dan membina persahabatan, semangat setia kawan, toleransi serta rasa saling menghormati sepanjang temasya berlangsung.

YBrs. Encik Ahmad Rizal berkata pencapaian mahasiswa tidak wajar diukur berdasarkan prestasi akademik semata-mata kerana penglibatan dalam aktiviti sukan turut membentuk watak, kepimpinan, disiplin dan daya tahan, selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 untuk membangunkan potensi insan secara menyeluruh.

Beliau berkata pengisian Perkampungan SUKIPT turut diperluas menerusi sambutan Bulan Kemerdekaan dan Karnival Keusahawanan yang menggabungkan elemen sukan, pendidikan, patriotisme, keusahawanan dan pembangunan sahsiah, sekali gus memberi pengalaman lebih menyeluruh kepada peserta.

SUKIPT 2026 yang berlangsung mulai 28 Ogos hingga 6 September menghimpunkan 7,697 orang atlet daripada 64 kontinjen, kira-kira 2,000 orang pegawai dan petugas serta 750 sukarelawan dengan pertandingan melibatkan 30 jenis sukan di UM dan beberapa lokasi lain termasuk UNITEN, UKM, UiTM, UPNM, UniKL dan TAR UMT.

Dalam pada itu, YBrs. Encik Ahmad Rizal berkata SUKIPT turut menjadi antara ruang persediaan dan pemilihan atlet IPT ke Sukan Universiti ASEAN (ASEAN University Games) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Disember ini, selain memberi peluang kepada atlet menguji kemampuan, meningkatkan prestasi dan mendapatkan pengalaman pertandingan.

“Kita bukan sekadar mahu melahirkan juara di gelanggang, kita mahu membangunkan insan yang mempunyai jiwa juara,” katanya ketika merasmikan perkampungan itu yang turut menyaksikan gimik perasmian, upacara menaikkan bendera kejohanan, penyampaian cenderahati, serta sesi bergambar.

Hadir sama, Naib Canselor UM, Dato’ Seri Prof. Ir Dr. Noor Azuan Abu Osman; Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa; serta Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan Bahagian Perancangan Strategik KPT, Dr. Hanafiah Ayub.

  • Last updated on .
  • Hits: 340
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 10 September 2026, 09:59:34.

logo-sirim