YB Menteri Pendidikan Tinggi Saksi Penyerahan CCC Dewan Konvokesyen, Rasmi Kilang Pengajaran Automotif UMPSA

YB Menteri Pendidikan Tinggi Saksi Penyerahan CCC Dewan Konvokesyen, Rasmi Kilang Pengajaran Automotif UMPSA

28 Ogos 2026 | Pekan, Pahang

Sementara di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) semalam, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir turut menyaksikan penyerahan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) Dewan Konvokesyen UMPSA daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada universiti berkenaan.

Penyerahan oleh Pengurus Besar Kanan Pembinaan Pasukan Projek JKR Pahang, Ir. Ts. Adnan Biladin kepada Naib Canselor UMPSA, Prof. Ts. Dr. Yatimah Alias itu menandakan siapnya sebuah kemudahan baharu yang menjadi antara mercu tanda universiti berkenaan.

Dewan yang mula dibina pada Mac 2023 itu mampu menampung sehingga 3,500 orang pada satu-satu masa, sekali gus menyediakan ruang lebih besar untuk penganjuran istiadat konvokesyen, persidangan, seminar serta pelbagai program berskala besar.

Lebih istimewa, Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI Zon Timur yang berlangsung semalam menjadi program sulung yang diadakan di dewan berkenaan, sekali gus membuka tirai penggunaannya sebagai kemudahan baharu UMPSA.

Kemudahan itu turut memperkukuh keupayaan UMPSA menyediakan prasarana yang bersesuaian dengan peranan universiti sebagai institusi pendidikan tinggi berteraskan teknologi, kejuruteraan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti akademik serta libat urus bersama komuniti dan industri.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan Tinggi turut merasmikan Kilang Pengajaran Automotif (Automotive Teaching Factory) dan mengadakan lawatan kerja rasmi ke Pusat Kejuruteraan Automotif serta Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), UMPSA.

Di situ, beliau meninjau perkembangan teknologi kejuruteraan mekanikal dan automotif meliputi enjin pembakaran dalaman (Internal Combustion Engine, ICE), hibrid, kenderaan elektrik (Electric Vehicle, EV), autonomi dan aeroangkasa.

Lawatan itu turut memberi peluang kepada beliau meninjau produk penyelidikan dan inovasi berkaitan teknologi ICE-Hybrid-EV serta fasiliti penyelidikan FTKMA termasuk Makmal Enjin Dinamometer (Dyno Engine Laboratory), Makmal Kenderaan Elektrik (EV Laboratory) dan Stesen Pengecas Kenderaan Elektrik (EV Charger).

Perkembangan berkenaan mencerminkan keupayaan UMPSA memperkukuh penyelidikan dan inovasi teknologi automotif selaras dengan keperluan industri.

Penyerahan CCC dan lawatan ke FTKMA itu berlangsung bersempena Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI Zon Timur yang dianjurkan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dengan kerjasama UMPSA.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar; dan Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Dr. Harshita Aini Haroon.

  • Last updated on .
  • Hits: 11
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 28 Ogos 2026, 03:02:14.

logo-sirim