Penyertaan 28 Kontinjen Warnai Sukan IPT Sarawak 2026

Penyertaan 28 Kontinjen Warnai Sukan IPT Sarawak 2026

31 Julai 2026 | Kota Samarahan, Sarawak

Penyertaan 28 kontinjen daripada pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan Institusi Latihan Kemahiran (ILK) dalam Sukan IPT Sarawak 2026 mencerminkan perkembangan positif budaya sukan dalam kalangan mahasiswa di negeri ini.

Majlis perasmian temasya itu disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, YBrs. En. Ahmad Rizal Adnan di Arena Gemilang, DeTAR PUTRA, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), semalam.

Penganjuran edisi kali ini menghimpunkan penyertaan daripada dua (2) Universiti Awam, 10 Universiti Swasta, lima (5) Kolej Komuniti, tiga (3) Politeknik serta lapan (8) kontinjen jemputan daripada Institut Pendidikan Guru (IPG), Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Advance Technology Training Centre, ADTEC) Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kampus Kota Samarahan, ADTEC JTM Kampus Serian, Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (Centre for Technology Excellence Sarawak, CENTEXS), Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) dan TVET MARA.

Peningkatan jumlah penyertaan berbanding edisi pertama menggambarkan minat yang semakin berkembang terhadap sukan sebagai antara medium pembentukan sahsiah, disiplin dan daya saing mahasiswa.

Selain menjadi medan pertandingan, kejohanan itu turut membuka ruang kepada atlet muda IPT mengasah bakat bagi mewakili Sarawak dan Malaysia pada peringkat yang lebih tinggi.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie; Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit; serta Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi, Fazidah Mustafa.

Kredit Foto: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)

  • Last updated on .
  • Hits: 39
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 03 Ogos 2026, 11:30:05.

logo-sirim