MTUN Perlu Manfaatkan Ai Bagi Memacu Transformasi Ekosistem Tvet Malaysia

23 Ogos 2026 | Lumut, Perak
Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) perlu menjadikan kecerdasan buatan (AI) sebagai teras transformasi pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) bagi memastikan bakat, penyelidikan dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) negara terus seiring dengan perubahan teknologi dan keperluan industri.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata penerapan AI dalam pendidikan tinggi tidak boleh dilihat sekadar sebagai penerimaan teknologi baharu, sebaliknya perlu disertai pengukuhan integriti, pemikiran kritis, kualiti, tadbir urus dan tanggungjawab dalam penggunaan ilmu.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim yang mewakili beliau ketika merasmikan Simposium Elsevier-MTUN Ke-5 2026 di sini siang tadi.
Menurut YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry, cabaran utama pendidikan tinggi kini bukan lagi menentukan sama ada universiti perlu menerima AI, tetapi bagaimana teknologi itu dapat diperluas secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan integriti institusi, kepercayaan dan disiplin akademik.
Sehubungan itu, beliau berkata MTUN perlu membangunkan pendekatan yang menghubungkan infrastruktur AI, kemudahan dan perisian AI serta ekosistem universiti dengan industri, pengawal selia dan rakan akademik bagi memastikan penggunaannya memberi manfaat kepada pendidikan, penyelidikan dan keperluan sebenar dunia pekerjaan.
Langkah berkenaan turut diterjemahkan menerusi penubuhan Komuniti Amalan AI MTUN (MTUN AI Communities of Practice) yang menghimpunkan institusi MTUN untuk berkongsi pengalaman, keperluan penyelidik, tadbir urus dan amalan penggunaan AI secara bertanggungjawab, selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.
Dalam inisiatif itu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjadi tiga (3) institusi terawal menerima pakai LeapSpace, platform AI berteraskan penyelidikan oleh Elsevier, penerbit dan penyedia penyelesaian maklumat global untuk komuniti penyelidikan, bagi meneroka penggunaannya dalam penyelidikan universiti.
Pada masa sama, perkembangan MTUN turut diperluas menerusi MTUN Plus dengan penyertaan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Selangor (UNISEL) bersama empat (4) universiti teras iaitu UTeM, UTHM, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan UniMAP, sekali gus memperluas jaringan kerjasama dalam pendidikan teknikal, TVET, penyelidikan dan hubungan dengan industri.
YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry berkata kekuatan MTUN yang dibina sejak dua (2) dekad lalu perlu dimanfaatkan untuk melonjakkan TVET ke tahap seterusnya kerana kejayaan terdahulu tidak menjamin keupayaan menghadapi perubahan yang dibawa AI, justeru universiti perlu mempercepat pembangunan bakat, penyelidikan dan kerjasama dengan industri dalam bidang berteknologi tinggi.
“AI mengembangkan minda, tetapi sahsiah membentuk masa depan,” katanya sambil menegaskan graduan masa depan bukan sahaja perlu menguasai kemahiran AI, malah mempunyai pertimbangan bebas, kreativiti, kepakaran profesional dan nilai etika untuk menggunakan teknologi bagi manfaat masyarakat.
Simposium bertemakan “Memacu Ekosistem TVET Malaysia Menerusi AI sebagai Pemangkin Perubahan (Advancing Malaysia’s TVET Ecosystem Through AI as an Inflection Point)” itu menghimpunkan lebih 140 orang peserta termasuk pemimpin MTUN, ahli akademik, penyelidik, pentadbir dan wakil industri bagi membincangkan penerapan AI dalam penyelidikan serta pembangunan ekosistem TVET negara.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Pusat Kecemerlangan, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Yogitha V. Mulyandi yang menjalankan tugas sebagai Pengarah Bahagian Kecemerlangan Penyelidikan JPT serta mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi; Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli; Naib Canselor UTHM, Prof. Ts. Dr. Mas Fauzi Muhammad Ali; Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin; Naib Canselor UMPSA, Prof. Ts. Dr. Yatimah Alias; serta Pengarah Serantau Elsevier bagi Asia Tenggara dan Australasia serta New Zealand, Omar Malik.
- Last updated on .
- Hits: 66
