MoU Stipendium Hungaricum 2026-2028 Diperbaharui, Kerajaan Hungary Tawar 40 Biasiswa Penuh Untuk Pelajar Malaysia Setiap Tahun

MoU Stipendium Hungaricum 2026-2028 Diperbaharui, Kerajaan Hungary Tawar 40 Biasiswa Penuh Untuk Pelajar Malaysia Setiap Tahun

10 April 2026 | Putrajaya

Pemerkasaan diplomasi pendidikan antarabangsa dan perluasan akses mobiliti global terus menjadi agenda tunjang Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melonjakkan kualiti bakat negara yang kompetitif di peringkat dunia.

Agenda strategik tersebut diteruskan dengan sesi kunjungan hormat oleh Duta Besar Hungary ke Malaysia, TYT Dr. Sándor Sipos ke atas Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di Putrajaya bagi memperincikan hala tuju jalinan akademik dua hala.

Sejurus selepas pertemuan tersebut, KPT telah secara rasmi memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai biasiswa 'Provision of the Stipendium Hungaricum Scholarships' bagi tempoh tahun 2026 hingga 2028.

Dokumen perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim bersama TYT Dr. Sándor Sipos yang mewakili Kerajaan Hungary.

Kerjasama tersebut menyaksikan penawaran sebanyak 40 biasiswa penuh secara tahunan kepada warganegara Malaysia untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana, serta Doktor Falsafah (PhD) di Hungary bermula tahun 2026.

Pakej biasiswa komprehensif ini merangkumi pembiayaan penuh yuran pengajian, elaun sara hidup, kemudahan penginapan, serta perlindungan insurans kesihatan bagi memastikan kebajikan pelajar terjamin sepanjang tempoh pengajian.

Program biasiswa antarabangsa itu terus menjadi pilihan utama mahasiswa tempatan apabila merekodkan sambutan luar biasa mencecah 350 permohonan bagi mengisi kuota 40 tempat yang disediakan pada sesi akademik lalu.

Peluang pendidikan eksklusif tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif global Kerajaan Hungary yang menyediakan 12,000 slot biasiswa setiap tahun merentasi pelbagai negara rakan diplomatik di seluruh dunia.

Kelestarian hubungan akademik itu bukan sekadar tentang mobiliti fizikal, malah turut bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan komuniti dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) kedua-dua buah negara ke arah masa depan yang lebih gemilang.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Dr. Harshita Aini Haroon; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia, Dato' Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran; Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Novie Tajuddin; serta Setiausaha Bahagian, Bahagian Hubungan Antarabangsa KPT, Datin Noorazah Omar. 

  • Last updated on .
  • Hits: 316
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 24 April 2026, 08:22:27.

logo-sirim