Memperkasa Jalinan Kerjasama Pendidikan Tinggi Malaysia – Bangladesh

10 April 2026 | Putrajaya
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menerima kunjungan hormat daripada Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara dan Menteri Buruh dan Pekerjaan, Bangladesh, TYT Ariful Haque Choudhury serta Penasihat kepada Perdana Menteri Bangladesh, TYT Dr. Mahdi Amin di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada pagi ini.
Pertemuan tersebut bertujuan untuk membincangkan potensi kerjasama antara Malaysia dan Bangladesh dalam bidang pendidikan tinggi. Antara bentuk kerjasama yang boleh diterokai termasuk penyelidikan berimpak tinggi, pertukaran pelajar dan kakitangan akademik serta kerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Selain itu, pertemuan ini turut membincangkan potensi kerjasama antara Education Malaysia Global Services (EMGS) dan University Grants Commission of Bangladesh dalam penawaran biasiswa bagi menempatkan kakitangan akademik yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran (PhD) di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Malaysia. Pihak KPT turut menawarkan kerjasama dalam bidang latihan kepimpinan melalui Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).
Hadir sama dalam sesi ini ialah Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Novie Tajuddin; Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa, YBhg. Datin Noorazah Omar dan Pengarah Bahagian Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), YBrs. Dr. Faiezi Zuber.
- Last updated on .
- Hits: 205
