Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Dan Kerjasama Malaysia-Republik Guinea

Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Dan Kerjasama Malaysia-Republik Guinea

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menerima kunjungan hormat daripada Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa, Republik Guinea, Tuan Yang Terutama (TYT) Ismael Nabe dan delegasi di Parlimen pada petang tadi.

Sesi pertemuan ini telah membincangkan potensi kerjasama antara Malaysia dan Republik Guinea dalam bidang pendidikan tinggi. Kerajaan Republik Guinea juga berhasrat mendapatkan bantuan Malaysia dari segi pembangunan sumber manusia, terutamanya yang melibatkan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), dan pemindahan ilmu (knowledge transfer) dalam bidang-bidang berteknologi tinggi.

YB Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan kesediaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk membantu Kerajaan Republik Guinea dalam memantapkan penilaian kurikulum dan akreditasi di Republik Guinea.

Selain itu, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) boleh menawarkan kepakaran dalam pembangunan kepimpinan pendidikan tinggi melalui pelbagai program dan kerjasama strategik.

Sesi kunjungan hormat ini telah disusuli dengan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Agence Guinéenne de Coopération Technique (AGCT) dan Education Malaysia Global Services (EMGS).

MoU ini antara lain akan menjadi pemangkin dalam usaha untuk memperluas dan memperkukuh keterlihatan jenama Study in Malaysia di Republik Guinea.

Kunjungan hormat ini turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Pengerusi EMGS, YBhg. Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie; Ketua Pegawai Eksekutif MQA, YBhg. Prof. Dato' Dr. Mohammad Shatar Sabran; Pengarah AKEPT, YBrs. Prof. Dr. Harshita Aini Haroon; dan Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Shamsuri Abdullah. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 646
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 September 2025, 04:30:59.

logo-sirim