Hari Kebangsaan 2025 Satukan Jiwa Dan Semangat Rakyat

Dataran Putrajaya pagi ini menjadi lautan semangat patriotisme apabila ribuan rakyat berhimpun seawal subuh, seia sekata meraikan detik bersejarah Sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang menyatukan seluruh jiwa dan raga anak Malaysia.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, berkenan berangkat, mengukuhkan makna perpaduan antara rakyat dan institusi diraja yang menjadi tonggak kedaulatan negara.
Dengan tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, sambutan kali ke-68 ini mengangkat aspirasi membina sebuah negara yang inklusif, makmur, dan harmoni, berteraskan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan utama.
Sorakan bergema apabila 81 kontinjen melibatkan 14,062 peserta melangkah penuh disiplin, diiringi paluan 21 pasukan pancaragam, keindahan tujuh (7) kereta berhias, kekuatan 508 aset darat dan udara, serta kehebatan 116 ekor haiwan perkhidmatan awam yang memukau ribuan penonton.
Langit biru Putrajaya turut dihiasi formasi udara yang melambangkan tekad Malaysia untuk terus terbang tinggi, menggapai kejayaan di persada dunia.
Lebih daripada sekadar acara perbarisan, sambutan ini menjadi simbol cinta mendalam rakyat kepada tanah air, mengikat janji untuk mempertahankan kemerdekaan yang dicapai dengan keringat dan pengorbanan para pejuang.
Mengiringi acara bersejarah ini ialah YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim; YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; dan YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Timbalannya, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; serta Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim.
Kredit Foto : Jabatan Penerangan Malaysia
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 191