Majlis Berbuka Puasa UPM: DYMM Tuanku Canselor Sampaikan Sumbangan Aidilfitri kepada 50 Pelajar Asnaf

Majlis Berbuka Puasa UPM: DYMM Tuanku Canselor Sampaikan Sumbangan Aidilfitri kepada 50 Pelajar Asnaf

26 Februari 2026 | Serdang, Selangor

Kebajikan pelajar terus menjadi keutamaan Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila DYMM Tuanku Canselornya, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada 50 pelajar asnaf dalam Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih di Masjid UPM, semalam.

Majlis berkenaan bukan sekadar acara tahunan sepanjang Ramadan, namun turut mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar sentiasa menjadi agenda utama institusi.

Penerima sumbangan terdiri daripada pelajar asnaf, anak yatim, mualaf serta Orang Kurang Upaya (OKU), sekali gus menggambarkan pendekatan inklusif UPM dalam menyantuni komuniti kampus.

Pada majlis sama, baginda turut berkenan menerima Dana Zakat UPM berjumlah RM10,290,426.32 yang diuruskan oleh Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN) UPM bersama pelbagai sumbangan zakat dan wakaf daripada entiti korporat, agensi serta individu.

Antara sumbangan signifikan yang diterima ialah RM450,000 daripada Lembaga Tabung Haji dan RM200,000 daripada Etiqa General Takaful Berhad. Turut menyumbang ialah syarikat berkaitan universiti termasuk Putra Business Schoolmelalui zakat perniagaan dan zakat pendapatan.

Selain itu, Wakaf Ilmu UPM berjumlah RM1,216,965.57 turut diterima bagi menyokong inisiatif akademik, bantuan kewangan pelajar, penyelidikan serta pembangunan fasiliti universiti.

Sepanjang tahun 2025, WAZAN UPM telah mengagihkan dana zakat berjumlah RM4.9 juta yang memanfaatkan pelajar dan staf universiti, sekali gus memperkukuh peranan sosial UPM sebagai institusi pendidikan tinggi yang menitikberatkan kesejahteraan komuniti.

Dalam majlis tersebut, DYMM Tuanku Canselor turut berkenan berbuka puasa serta menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih bersama kira-kira 1,000 warga UPM dan komuniti sekitar, menzahirkan keprihatinan baginda terhadap aspek kerohanian dan kebajikan masyarakat kampus.

Keberangkatan baginda telah disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Dato' Sri Jailani Johari; dan Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah. 

  • Last updated on .
  • Hits: 228
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 12 Mac 2026, 11:58:06.

logo-sirim