Kunjungan Hormat Akademi Profesor Malaysia, Perkasa Peranan Akademia dalam Pendidikan Tinggi

4 September 2026 I Putrajaya
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim menerima kunjungan hormat daripada Akademi Profesor Malaysia (APM) yang diketuai oleh Ahli Majlis dan Pengerusi Konvensyen Akademia 2026, YBrs. Profesor Dr. Nordin bin Yahaya di KPT semalam.
Pertemuan tersebut merangkumi sesi pengenalan APM serta perkongsian mengenai peranan dan fokus akademi dalam landskap pendidikan tinggi negara.
Dalam pertemuan ini, APM turut membentangkan Program Konvensyen Akademia 2026 (AK26) yang berperanan sebagai platform proses libat urus dan pemikiran strategik akademia untuk Malaysia dalam era kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital. AK26 turut dirangka bagi menghimpunkan kepakaran akademia merentas disiplin dan sektor dalam membincangkan isu, cabaran serta peluang berkaitan perubahan landskap tersebut.
Pertemuan turut mengetengahkan cadangan kerjasama strategik antara APM dan KPT melalui penglibatan serta sumbangan kepakaran akademia dalam bidang-bidang yang berkepentingan kepada pendidikan tinggi. Inisiatif ini diharap dapat membuka ruang yang lebih luas kepada pemanfaatan kepakaran profesor dalam menyokong perancangan, pemikiran strategik dan pembangunan pendidikan tinggi negara.
- Last updated on .
- Hits: 259
