KPT Terima Dokumen Akhir Pelan Tindakan 2026-2028 bagi RPTM

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini menerima penyerahan dokumen akhir Pelan Tindakan 2026–2028 bagi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 daripada rakan strategik kementerian, Universiti Teknologi MARA (UiTM), dalam satu sesi yang berlangsung pagi tadi.
Dalam sesi ringkas pagi tadi di KPT, Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim telah menerima dokumen akhir berkenaan daripada Naib Canselor UiTM, Datuk Prof Ts. Dr. Shahrin Sahib dengan disaksikan oleh Pengurusan Tertinggi Kementerian.
Pelan tindakan tersebut mula dibangunkan sejak Ogos 2025 dengan penyelarasan dan penerajuan oleh KPT melalui pelbagai siri sesi libat urus, perbincangan strategik serta kerjasama erat yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.
Hasil komitmen dan usaha berterusan semua pihak yang terlibat, dokumen pelan tindakan berkenaan akhirnya berjaya dimuktamadkan serta didokumenkan dengan jayanya sebagai panduan pelaksanaan awal bagi tempoh 2026 hingga 2028.
Penyerahan dokumen ini menandakan permulaan kepada fasa pelaksanaan dan pemantauan RPTM 2026–2035 secara lebih sistematik dan tersusun di bawah penerajuan KPT, selaras dengan usaha memperkukuh hala tuju serta transformasi pendidikan tinggi negara.
KPT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua pihak yang telah menyumbang kepakaran, komitmen serta kerjasama sepanjang proses pembangunan pelan tindakan tersebut.
- Last updated on .
- Hits: 65
