KPT Perkukuh Hubungan Strategik Bersama Pengamal Media Melaka Pada Majlis Iftar Perdana YB Timbalan Menteri

Pembinaan hubungan strategik dan persefahaman yang erat bersama rakan media kekal menjadi teras utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memastikan aspirasi Kerajaan difahami oleh seluruh lapisan masyarakat.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abd Halim menyifatkan jalinan kerjasama proaktif itu sebagai medium penting untuk bertukar pandangan dalam mendepani cabaran penyebaran maklumat masa kini.
Hasrat murni tersebut telah diterjemahkan menerusi penganjuran Majlis Iftar Perdana YB Timbalan Menteri KPT Bersama Media Negeri Melaka di sini semalam.
Majlis berbuka puasa dan sesi ramah mesra yang dianjurkan oleh Unit Komunikasi Korporat (UKK), KPT dengan kerjasama strategik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu telah menghimpunkan semua pengamal media dari 10 agensi tempatan.
Acara tersebut merupakan inisiatif penghargaan atas komitmen serta kerjasama berterusan para petugas media yang menjadi benteng kebenaran dalam menyalurkan maklumat rasmi Kementerian.
Selain mengeratkan silaturahim, KPT melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut merealisasikan inisiatif kelestarian pendidikan dengan menyalurkan sumbangan akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM10,000 kepada Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA).
Sumbangan kewangan tersebut disasarkan khusus bagi tujuan pembukaan akaun simpanan pendidikan bernilai RM500 setiap seorang kepada 20 anak-anak pengamal media yang berkeperluan.
YB Adam Adli menegaskan bahawa inisiatif penabungan awal tersebut adalah simbol kepedulian Kementerian terhadap masa depan pendidikan keluarga barisan hadapan penyampaian maklumat negara.
Beliau turut menaruh harapan agar pertemuan bermakna semalam menjadi titik tolak kepada hubungan yang lebih akrab antara KPT dan rakan media Melaka demi membawa manfaat berterusan kepada rakyat.
Turut hadir, Ketua Komunikasi Korporat KPT, Mohamad Hafizi Rosli; Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid; Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UTeM, Prof. Dr. Mohd Rizal Salleh; serta Pengerusi PENDIKA, Amir Mamat.
- Last updated on .
- Hits: 43
