KPT Salur RM600,000 Laksana Projek Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di Kluang

1 Ogos 2026 | Kluang, Johor
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI 2026 di daerah Kluang menerusi peruntukan keseluruhan RM600,000 bagi melaksanakan projek pembangunan di Kampung Melayu Batu 4, Paloh dan Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood 2.
Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim mengadakan lawatan turun padang ke kedua-dua lokasi berkenaan yang turut menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Pelaksanaan Projek sebagai pemula kepada pelaksanaan kedua-dua inisiatif tersebut.
Di bawah Program Sekolah Angkat MADANI, Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood 2 menerima peruntukan RM100,000 bagi membiayai projek yang dikenal pasti untuk meningkatkan kemudahan dan persekitaran pembelajaran sekolah.
Sementara itu, Kampung Melayu Batu 4, Paloh menerima peruntukan RM500,000 di bawah Program Kampung Angkat MADANI bagi melaksanakan projek pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.
Lawatan berkenaan turut memberi peluang kepada Ketua Setiausaha KPT meninjau sendiri keadaan semasa di kedua-dua lokasi selain mendengar taklimat mengenai keperluan serta perancangan pelaksanaan projek yang telah dikenal pasti.
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan KPT, Izhamael Zamzuri Ismail; Pegawai Daerah Kluang, Hajah Azurawati Wahid; Pegawai Pendidikan Daerah Kluang, Haji Ayub Ibrahim; Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood 2, Padilah Shahran; serta wakil-wakil agensi berkaitan.
- Last updated on .
- Hits: 36
