KPT Perkukuh Kecemerlangan Pengurusan Aduan Awam, Tingkat Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan

22 Oktober 2026 | Putrajaya
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Unit Komunikasi Korporat (UKK KPT) terus memperkukuh kecemerlangan pengurusan aduan awam melalui bengkel penetapan kompleksiti aduan yang lebih sistematik bagi memastikan setiap aduan dinilai, dikendalikan dan dipantau berdasarkan keperluan tindakan yang bersesuaian.
Ketua Komunikasi Korporat KPT, Encik Mohamad Hafizi Rosli berkata, penetapan kompleksiti aduan bukan sekadar proses pengelasan, sebaliknya merupakan elemen penting dalam menentukan keperluan tindakan, merancang kaedah pengendalian yang bersesuaian serta memperkukuh pemantauan dan penyelarasan aduan secara menyeluruh.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Bengkel Penetapan Kompleksiti Aduan Awam KPT Tahun 2026 yang berlangsung selama dua hari, bermula semalam di Putrajaya.
Beliau turut menegaskan bahawa ilmu, perkongsian dan hasil perbincangan sepanjang bengkel perlu diterjemahkan dalam amalan kerja harian bagi meningkatkan kecekapan pengurusan aduan serta memastikan setiap aduan diberikan perhatian dan tindakan sewajarnya.
Pendekatan ini penting dalam memperkukuh budaya kerja yang responsif, telus dan berintegriti, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap mutu penyampaian perkhidmatan KPT.
Bengkel tersebut menghimpunkan seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Penyelaras Aduan (PPA) dari bahagian di KPT, jabatan dan agensi di bawah KPT bagi memperkemas penetapan kriteria kompleksiti aduan serta meningkatkan keberkesanan pengendalian aduan awam.
Penganjuran bengkel ini turut mendapat pujian dan penghargaan daripada Biro Pengaduan Awam (BPA), Jabatan Perdana Menteri (JPM), yang menyifatkan KPT sebagai kementerian pertama menganjurkan bengkel khusus berkaitan penetapan kompleksiti aduan awam.
Inisiatif rintis ini berpotensi menjadi penanda aras (benchmark) kepada kementerian dan agensi kerajaan lain dalam mempertingkatkan kecekapan pengurusan aduan.
Menurut Ketua Penolong Pengarah merangkap Ketua Unit Aduan 5 BPA JPM, Encik Kumaran a/l Nadaraja, inisiatif yang dilaksanakan KPT ini merupakan langkah positif ke arah memperkukuh pengurusan aduan awam menerusi penetapan kriteria yang lebih jelas, teratur dan bersesuaian dengan tahap kompleksiti setiap aduan.
Untuk rekod, KPT pernah merangkul pengiktirafan Platinum dalam Penarafan Pengurusan Aduan Awam Kementerian Tahun 2025 anjuran BPA, JPM selain memperoleh pengiktirafan Tahap Cemerlang pada Majlis Anugerah Biro Pengaduan Awam Tahun 2023 yang dianjurkan secara dwitahunan.
Selain memperoleh pengiktirafan tersebut, KPT turut mencatatkan prestasi memberangsangkan dalam pengurusan aduan awam apabila mencapai kadar penyelesaian aduan sebanyak 96.14 peratus pada tahun 2025, melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan sebanyak 95 peratus.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen KPT dalam memastikan aduan awam ditangani secara cekap dan berkesan, di samping mengekalkan standard penyampaian perkhidmatan yang berkualiti.
- Last updated on .
- Hits: 74
