KPT Perkasa Transformasi Perpustakaan Digital Bagi Imbangi Kepantasan Teknologi AI

16 April 2026 | Sepang, Selangor
Pemerkasaan perpustakaan sebagai pusat kecemerlangan intelek dan ekosistem ilmu yang dinamik kini diangkat sebagai agenda utama di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa perpustakaan bukan sekadar repositori buku fizikal, sebaliknya merupakan jiwa yang memelihara kesinambungan tamadun dan memacu kematangan intelek sesebuah negara maju.
Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan perpustakaan University of Cyberjaya (UOC) yang telah dinaik taraf menjadi hab pembelajaran digital moden dipacu teknologi Kecerdasan Buatan (AI) di sini pagi tadi.
Menurut YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry, menerusi RPTM 2026-2035, kementerian komited melahirkan graduan yang mampu mendepani era pasca-normal yang dicirikan oleh ketidaktentuan, kerumitan, dan limpahan maklumat yang luar biasa.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan berpusatkan manusia (human-centric) bagi memastikan kebergantungan kepada teknologi digital dan AI sentiasa diseimbangkan dengan nilai moral, etika, dan integriti kemanusiaan yang teguh.
Transformasi perpustakaan UOC yang menyediakan akses global tanpa sempadan serta ketersambungan (interconnectivity) merentasi pelbagai disiplin dilihat sebagai model hab pembelajaran masa hadapan yang selaras dengan visi nasional.
Dalam majlis tersebut, beliau telah menyempurnakan upacara menandatangani plak perasmian sebelum dibawa meninjau kemudahan rujukan digital serta ruang kolaborasi interaktif pelajar.
Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Cyberjaya Education Group Berhad, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Dr. Mohd Shahrom Dato’ Haji Nordin (Bersara); Pro-Canselor UOC, Tan Sri Dato' Dr. R. Palan; dan Naib Canselor UOC, Profesor Dr. David Whitford.
- Last updated on .
- Hits: 115
