KPT Perkasa Kerjasama Strategik dan Hubungan Industri bersama US-ASEAN Business Council (US-ABC)

12 Mei 2026 | Putrajaya
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi US-ASEAN Business Council (US-ABC) yang diketuai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Brian D. McFeeters pada petang ini.
Pertemuan ini merupakan platform strategik dalam memperkukuh sinergi antara Kerajaan dan syarikat multinasional Amerika Syarikat (AS) bagi menyokong agenda transformasi pendidikan tinggi negara. Antara inti pati utama perbincangan merangkumi Pembangunan Bakat Berimpak Tinggi, Transformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Kerjasama Awam-Swasta (PPP), Transformasi Digital dan Ekonomi Hijau.
Dalam sesi tersebut, YB Menteri menegaskan komitmen KPT untuk memastikan graduan dilengkapi dengan kombinasi pengetahuan teknikal dan keupayaan digital yang mampan bagi mendepani cabaran ekonomi global.
KPT amat mengalu-alukan penglibatan syarikat AS dalam membangunkan saluran bakat yang berstruktur melalui program latihan industri dan perantis, pembangunan kurikulum yang direka bentuk bersama (co-designed curriculum) dan Program Train-the-Trainer untuk memperkasakan kompetensi pensyarah.
Fokus utama diberikan kepada sektor bernilai tinggi seperti Kecerdasan Buatan (AI), semikonduktor, aeroangkasa, dan teknologi hijau bagi menyokong aspirasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi berasaskan inovasi.
Perbincangan ini membuktikan kesungguhan KPT dalam memastikan ekosistem pendidikan tinggi negara sentiasa dinamik dan responsif terhadap keperluan pelaburan global. Sesi ini turut menyaksikan penyertaan aktif daripada pelbagai syarikat multinasional terkemuka seperti Apple, Abbott, Boeing, IBM, Micron, dan Moody’s.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato' Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim serta pegawai-pegawai kanan Kementerian.
- Last updated on .
- Hits: 36
