KPT Hargai Modal Insan Sebagai Tunjang Kecemerlangan Organisasi

12 Mei 2026 | Bangi, Selangor
"Sesebuah organisasi itu sebenarnya dibina oleh manusia dan kecemerlangan yang dikecapi adalah hasil pengorbanan serta kerjasama pasukan yang mantap, bukannya sekadar bergantung kepada dasar yang indah atau bangunan yang gah," ucap Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis Pentas Apresiasi Bintang dan Legasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Tahun 2026 yang berlangsung di sini semalam.
Majlis yang penuh gemilang tersebut dianjurkan khusus bagi memberikan pengiktirafan kepada warga KPT yang mempamerkan prestasi luar biasa serta menghargai jasa para pesara yang telah meninggalkan legasi berharga sepanjang tempoh perkhidmatan.
YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry menjelaskan bahawa kejayaan pimpinan dan Kementerian bukan hanya terletak pada menteri, sebaliknya ia adalah hasil sinergi keseluruhan warga daripada pelbagai peringkat jawatan yang memikul amanah negara dengan penuh tanggungjawab.
Dalam majlis itu, seramai 34 kakitangan telah dianugerahkan Anugerah Kecemerlangan Seri Utama (AKSU) sebagai pengiktirafan tertinggi Kementerian terhadap pencapaian luar biasa mereka sepanjang tahun perkhidmatan.
Turut diraikan ialah enam (6) pegawai yang menerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC 2025) yang dizahirkan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi menghargai sumbangan cemerlang mereka melangkaui tugas rasmi.
Pengiktirafan diteruskan melalui penganugerahan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC 2025) kepada 116 orang kakitangan yang mempamerkan disiplin, integriti, dan kesungguhan tinggi dalam menjalankan tugasan.
Majlis tersebut turut merakamkan sanjungan bakti kepada 164 orang pesara tahun 2025 dan 2026 yang disifatkan oleh YB Menteri sebagai pahlawan tidak didendang dalam memacu sektor pendidikan tinggi negara.
Pada malam tadi juga, YB Menteri menzahirkan pengiktirafan tertinggi kepada mantan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim, atas kepimpinan berwibawa yang menggabungkan ketenangan dengan ketegasan prinsip.
Keupayaan Datuk Dr. Anesee membuat keputusan strategik yang pantas serta ketelitian dalam melunaskan mandat Kementerian bukan sahaja memperkukuh tadbir urus, malah menjadi rujukan profesional yang amat bernilai buat seluruh organisasi.
Penghargaan serupa turut diberikan kepada mantan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian yang telah banyak membantu mengorak dasar dan perancangan strategik selama lima (5) tahun berkhidmat di KPT.
Dalam pada itu, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry turut menyeru warga KPT agar sentiasa berani keluar daripada zon selesa dan mengamalkan budaya kerja di luar kotak bagi memastikan Kementerian kekal relevan dalam mendepani perubahan dunia yang pantas.
Di kesempatan itu juga, beliau turut mengalu-alukan barisan kepimpinan baharu, termasuk Ketua Setiausaha KPT, Dato' Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, serta Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), En. Ahmad Rizal Adnan untuk terus memperkukuh KPT demi masa hadapan pendidikan tinggi yang lebih gemilang.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; serta barisan pengurusan tertinggi KPT, agensi dan Institusi Pendidikan Tinggi awam.
- Last updated on .
- Hits: 75
