KPT Perkasa Agenda Kebolehpasaran Graduan Setara Kelayakan Melalui PSKG 2026-2030
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini menganjurkan Sesi Town Hall dan Libat Urus Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026–2030 sebagai usaha memperkasakan agenda graduan pekerja mahir agar memperoleh pekerjaan setara dengan kelayakan masing-masing.
Sesi yang berlangsung pada pagi ini menandakan komitmen KPT untuk menjadikan tempoh lima tahun akan datang sebagai fasa kritikal dalam melahirkan graduan bukan sahaja berdaya kerja (employable), malah bersedia menghadapi masa hadapan (future-ready) serta berdaya tahan ekonomi (economy-resilient).
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany bin Megat Ahmad Supian.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pelan strategik yang akan dibangunkan perlu bersifat praktikal, boleh diukur dan dipantau, serta mampu menghasilkan perubahan nyata demi membina masa depan generasi muda negara.
Menurut beliau, matlamat utama PSKG bukan sekadar memastikan graduan memperoleh pekerjaan, tetapi memastikan mereka mendapat pekerjaan yang setara dengan kelayakan akademik serta menerima gaji yang setimpal dengan tahap kemahiran dan kepakaran yang dimiliki.
Penganjuran sesi town hall anjuran Unit Kebolehpasaran Graduan, Bahagian Perancangan Strategik KPT ini turut memperincikan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, khususnya dalam aspek pemerkasaan ekosistem bakat dan pembinaan negara bangsa.
Sesi libat urus ini turut dihadiri oleh barisan Timbalan Naib Canselor Universiti Awam, pengurusan tertinggi institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS), serta wakil rakan agensi dan industri, sekali gus mencerminkan pendekatan kolaboratif KPT dalam merangka hala tuju kebolehpasaran graduan negara.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 32