KPT Pacu Anjakan Paradigma Pendidikan Tinggi Menerusi RPTM 2026-2035: Kemanusiaan Jadi Teras Kepimpinan

10 Februari 2026 | Serdang, Selangor
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memacu anjakan paradigma dalam landskap pendidikan negara menerusi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 dengan meletakkan nilai kemanusiaan serta pembinaan negara bangsa sebagai tunjang utama kepimpinan universiti.
Pelan strategik 10 tahun yang mengandungi 10 lonjakan utama ini dirangka bagi memastikan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bukan sekadar berfungsi sebagai pusat melahirkan tenaga kerja, sebaliknya menjadi gedung pembinaan tamadun yang melahirkan insan beretika, beradab serta berintelek tinggi.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, Malaysia kini berada pada detik penentu apabila kejayaan universiti tidak lagi boleh diukur semata-mata melalui kedudukan ranking, petunjuk prestasi utama (KPI) atau statistik kebolehpasaran graduan.
Menurut beliau, persoalan sebenar yang perlu diberi perhatian ialah sama ada universiti berperanan membina institusi bertaraf dunia atau membangunkan sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat berakhlak, beretika dan berpijak di bumi nyata, yang merupakan persoalan kepimpinan serta tanggungjawab moral negara.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan umum bertajuk “Paradigm Shift in Higher Education: Bringing Humanity into Leadership for the Nation” sempena program Professor of Practice Talk 2026 anjuran Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini hari ini.
Mengulas cabaran teknologi, beliau menjelaskan bahawa RPTM 2026-2035 mengiktiraf peranan pendigitalan dan Kecerdasan Buatan (AI) sebagai elemen penting, namun menegaskan bahawa teknologi bersifat neutral nilai dan bergantung sepenuhnya kepada corak kepimpinan manusia yang mengendalikannya.
Dalam syarahan tersebut, beliau turut menggariskan lima ciri utama kemanusiaan dalam kepimpinan yang perlu diterapkan selari dengan aspirasi RPTM, iaitu kejelasan moral, empati yang diimbangi tanggungjawab, kerendahan hati intelektual, keberanian membuat keputusan sukar demi kepentingan jangka panjang serta sifat amanah yang melangkaui kitaran laporan tahunan.
Beliau mengajak seluruh warga pendidikan tinggi termasuk ahli politik, teknokrat dan tokoh korporat untuk bersama-sama menjayakan aspirasi RPTM dengan menjadikan universiti sebagai “kota idea” yang subur, di mana perbezaan pandangan diraikan dan ilmu dimanfaatkan demi kesejahteraan masyarakat sejagat.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Novie Tajuddin; Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PBS, Prof. Dr. Azmawani Abdul Rahman.
- Last updated on .
- Hits: 58
