KPT Lancar Manual Pengurusan Isu dan Krisis, Perkasakan Komunikasi Strategik

KPT Lancar Manual Pengurusan Isu dan Krisis, Perkasakan Komunikasi Strategik

28 Julai 2026 | Putrajaya

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjadi antara kementerian pelopor yang memperkasakan komunikasi strategik menerusi pelancaran Manual Pengurusan Isu dan Krisis Edisi 1/2026 sebagai panduan strategik bagi mendepani pelbagai persepsi awam secara lebih cekap dan tangkas.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapan beliau sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi Tahun 2026 pagi tadi, menegaskan bahawa pembangunan manual ini merupakan satu langkah proaktif untuk memastikan kementerian kekal cemerlang sebagai pengurus ekosistem pendidikan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Tambah beliau lagi, realiti baharu menuntut warga kementerian bertindak sebagai satu pasukan pengurusan krisis yang mantap dan mampu memberi respon terhadap sesuatu dakwaan dalam tempoh sesingkat tiga jam.

Beliau turut menyeru seluruh warga KPT agar bertindak sebagai 'duta kecil' yang bertanggungjawab untuk menjawab pelbagai tohmahan terutamanya mengenai dasar pengantarabangsaan universiti tempatan yang membuktikan kualiti pendidikan negara diiktiraf dunia.

Manual yang dibangunkan oleh Unit Komunikasi Korporat (UKK) KPT itu merupakan manifestasi usaha kolektif antara semua Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan, Agensi dan Universiti seluruh negara melalui beberapa siri libat urus dan perbincangan.

Ia akan menjadi panduan dan digunapakai di seluruh Jabatan/ Agensi dan UA bagi memastikan setiap isu dan krisis yang mendatang, dapat diselesaikan dengan strategi dan berkesan.

Selain itu, menyentuh tentang Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang dibangunkan sepenuhnya oleh pakar tempatan, YB Menteri menyatakan pelan tersebut dijadikan kompas utama dalam melahirkan graduan berilmu yang bertepatan dengan prinsip keseimbangan kemanusiaan.

Sebelum sesi pelancaran tersebut, majlis perhimpunan bulanan pada kali ini telah menampilkan kelainan menerusi penganjuran sesi 'Townhall' bersahaja yang membuka ruang komunikasi dua hala secara terus terang antara warga kementerian bersama barisan pengurusan tertinggi dengan Ketua Komunikasi Korporat KPT, Encik Mohamad Hafizi Rosli sebagai moderator.

Menerusi sesi berkenaan, Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim mengingatkan kakitangan untuk sentiasa mengimbangi kesejahteraan di tempat kerja dengan tahap kebertanggungjawaban yang tinggi terutamanya menjelang kemudahan bekerja secara hibrid pada Ogos ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman pula mengambil peluang menonjolkan kejayaan universiti tempatan yang berjaya mengkomersialkan inovasi penyelidikan perubatan bagi menyelesaikan masalah kesihatan kumpulan sasaran dalam komuniti.

Kemuncak perhimpunan bulanan itu dilabuhkan dengan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 peringkat kementerian yang diiringi nyanyian lagu patriotik bagi menyemarakkan lagi semangat kebersamaan warga KPT.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim bersama-sama pengurusan tertinggi serta warga Kementerian.

  • Last updated on .
  • Hits: 185
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 31 Julai 2026, 10:01:11.

logo-sirim