Kongres Pendidikan Bumiputera 2026: Rangka Hala Tuju Baharu Perkasa Generasi Masa Hadapan

1 Mei 2026 | Kuala Lumpur
Agenda memperkasa pendidikan Bumiputera perlu diangkat sebagai agenda nasional yang menuntut kesatuan fikrah, iltizam serta tindakan bersama daripada semua pihak bagi memastikan keberhasilannya.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan, pembangunan masa depan bangsa melalui pendidikan tidak boleh diserahkan kepada kebetulan, sebaliknya wajib dibina menerusi perancangan tersusun, reformasi berani dan kesungguhan politik yang jelas.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kongres Pendidikan Bumiputera (KPB) 2026 di sini hari ini, yang menyaksikan kehadiran lebih 5,000 peserta merangkumi pemimpin rakyat, pembuat dasar, tokoh pendidikan, ahli akademik, profesional serta mahasiswa dari seluruh negara.
Menurut beliau, kehadiran luar biasa tersebut membuktikan wujudnya iltizam kolektif yang teguh dalam memastikan kelangsungan dan pemerkasaan masa depan Bumiputera melalui sistem pendidikan yang lebih dinamik.
Jelasnya lagi, pengupayaan pendidikan harus dilihat secara holistik bermula daripada peringkat awal kanak-kanak, latihan kemahiran, hingga ke peringkat tertinggi bagi merapatkan jurang pendidikan yang dikesan bermula sejak awal kehidupan.
“Negara tidak mahu sekadar melahirkan angka statistik kemasukan ke universiti, tetapi mahu membentuk generasi yang memiliki kekuatan ilmu, kemahiran, daya cipta, serta keutuhan akhlak dan adab,” tegas beliau.
Tambah YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry, ekosistem masyarakat yang menghargai budaya membaca dan sokongan sosial di rumah serta sekolah memainkan peranan kritikal dalam membentuk sahsiah bangsa, melangkaui pembelajaran di dewan kuliah semata-mata.
Pelaksanaan kongres kali ini digerakkan menerusi tiga (3) pendekatan utama iaitu penyediaan kerangka strategik jangka panjang, reformasi dasar yang responsif, serta tekad politik bagi menterjemahkan setiap cadangan kepada tindakan nyata.
Sebanyak enam (6) sesi utama yang melibatkan 25 orang pembentang pakar memberi tumpuan khusus kepada penilaian dasar, pengarusperdanaan aliran tahfiz, pemerkasaan TVET, pendidikan awal kanak-kanak, serta wakaf pendidikan.
Segala dapatan akan dirumuskan sebagai resolusi untuk diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum dikemukakan kepada YAB Perdana Menteri untuk dijadikan agenda besar negara di bawah Majlis Pendidikan Negara.
- Last updated on .
- Hits: 25
