Muhammad Adib Ibrahim dari UiTM Dinobat Tokoh Pekerja Negara (OKU) 2026, Simbol Kecemerlangan Warga Pendidikan Tinggi

Muhammad Adib Ibrahim dari UiTM Dinobat Tokoh Pekerja Negara (OKU) 2026, Simbol Kecemerlangan Warga Pendidikan Tinggi

1 Mei 2026 | Kuala Lumpur

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada saudara Muhammad Adib Ibrahim atas kejayaan dinobatkan sebagai Tokoh Pekerja Negara (Orang Kurang Upaya, OKU) 2026.

Penganugerahan tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim sempena Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di UNIFI Arena, Bukit Jalil pagi tadi.

Muhammad Adib, Penolong Pendaftar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dilihat sebagai simbol kecemerlangan warga kerja pendidikan tinggi negara.

Kejayaan beliau membuktikan keupayaan warga KPT untuk menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara tanpa mengira latar belakang dan cabaran fizikal.

KPT menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai manifestasi jelas kepada komitmen kerajaan dalam memperkukuh agenda inklusiviti dalam ekosistem pekerjaan negara.

Dalam majlis tersebut, YAB Perdana Menteri turut menegaskan kepentingan pembelaan kebajikan pekerja sebagai teras kepada pembangunan ekonomi yang mampan dan seimbang.

Kerajaan turut mengumumkan beberapa prakarsa penambahbaikan dasar berkaitan kebajikan pekerja termasuk usaha memperkukuh perlindungan sosial dan pembangunan kemahiran tenaga kerja.

KPT menyambut baik segala prakarsa tersebut yang dilihat mampu mempertingkat daya tahan serta kebolehpasaran warga kerja dalam sektor pendidikan tinggi.

Kejayaan Muhammad Adib turut menjadi inspirasi kepada seluruh warga Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta untuk terus meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan dan profesionalisme.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri KESUMA, YB Dato' Sri Ramanan Ramakrishnan; Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan. 

  • Last updated on .
  • Hits: 10
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 04 Mei 2026, 09:34:38.

logo-sirim