KAMBEST: POLYCC Terjemah Pendidikan Tinggi Demi Manfaat Rakyat, Perkasakan Komuniti Kampung Bendang Siam
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited dalam memastikan ilmu pendidikan tinggi tidak hanya terhad di dalam bilik kuliah, sebaliknya dapat dimanfaatkan secara langsung di tengah-tengah masyarakat.
Komitmen ini dizahirkan melalui Majlis Perasmian Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI Bendang Siam (KAMBEST) yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Inisiatif di bawah Kerajaan MADANI ini bertujuan merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar sambil memperkasa komuniti setempat menerusi kepakaran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta bagi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan komuniti yang dikelolakan sepenuhnya oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Sepanjang tahun 2025, seramai lebih 1,000 pensyarah dan pelajar dari 25 institusi politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) seluruh negara telah berganding bahu menyiapkan 14 projek naik taraf dan pembinaan di sekitar kampung tersebut.
Antara projek infrastruktur utama yang dilaksanakan termasuklah menaik taraf surau, membina dewan orang ramai, dan mendirikan gazebo rekreasi bagi kegunaan serta keselesaan penduduk setempat.
Fokus kebajikan turut diberi keutamaan dengan kejayaan membaik pulih 21 buah rumah penduduk golongan B40 dan Orang Kurang Upaya (OKU), merangkumi kerja pembaikan bumbung, lantai, dan sistem pendawaian elektrik yang usang.
Selain itu, sebuah kolam desa terbiar telah dipulihkan menjadi sebuah kawasan rekreasi baharu yang dilengkapi sistem pam air berkuasa solar, sekali gus berpotensi sebagai sumber ekonomi tambahan kepada komuniti.
Pelaksanaan projek ini juga menjadi medan pendidikan sebenar yang menterjemahkan konsep latihan sambil bekerja (on-job training) selaras dengan fokus utama KPT iaitu Pemindahan dan Perkongsian Ilmu.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato' Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; dan Pengarah Pembangunan Negeri Perak, Dato' Haji Mohd Zakuan Haji Zakaria.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 503