IPTA Turun Padang, Perkasa Komuniti Sabah

Program Jelajah Pendidikan Tinggi Untuk Komuniti @ Sabah Siri Kedua anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah berlangsung dengan jayanya di Sekolah Kebangsaan Kokol siang tadi dengan penyertaan aktif daripada pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) serta komuniti setempat.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud dalam ucapannya menyatakan bahawa program ini merupakan kesinambungan komitmen KPT dalam merakyatkan pendidikan tinggi.
Menurut beliau, pendekatan holistik ini menjadikan IPT sebagai pemangkin pembangunan komuniti — pelbagai kaedah pemindahan ilmu seperti kursus kemahiran, servis teknikal, serta pameran robotik dan STEM dilaksanakan sepanjang program.
Antaranya, sumbangan set robotik oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) kepada SK Kokol yang turut merintis penubuhan kelab robotik di situ, sekali gus memberi pendedahan awal dalam bidang teknologi kepada pelajar.
Program ini turut menawarkan khidmat masyarakat seperti servis penghawa dingin, servis motosikal dan pemeriksaan kesihatan percuma, kelas membuat kek, kursus hiasan manik, serta khidmat gunting rambut percuma kepada penduduk kampung, hasil kerjasama antara UMS dan beberapa IPT seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Kolej Komuniti Penampang dan Kolej Komuniti Papar.
YB Datuk Ts. Mustapha turut memberi penghargaan kepada mahasiswa yang menyumbang tenaga dalam aktiviti kemasyarakatan seperti lukisan mural dan projek penanaman pokok—aktiviti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti tetapi juga memperkukuh pengalaman pembelajaran luar bilik kuliah.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, YB Datuk Peto Galim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor; serta wakil-wakil kepimpinan IPTA lain.
Sebagai siri kedua selepas Kota Belud, Program Jelajah Pendidikan Tinggi Untuk Komuniti @ Sabah dijangka akan diteruskan ke lokasi-lokasi lain dalam usaha berterusan KPT untuk menyantuni dan memperkasa masyarakat luar bandar melalui pendidikan tinggi.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 651