i‑FUTURE@UMS 2025 Medan Pupuk Pemimpin Era Digital Belia Sabah

Kira-kira lebih 400 orang pelajar daripada pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta di seluruh Negeri Sabah berkumpul di Universiti Malaysia Sabah (UMS) siang tadi bagi menyertai program International Young Future Leaders (i-FUTURE) yang memberi fokus kepada pembangunan kepimpinan belia dalam dunia digital yang semakin mencabar.
Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama UMS tersebut menyaksikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menyampaikan ucaptama bertajuk “Youth Leadership in a Digital World” yang menekankan pentingnya membina kepimpinan beretika dan inklusif dalam persekitaran digital yang pantas berubah.
Menurut beliau, kepimpinan masa kini tidak lagi terbatas kepada ruang rasmi, sebaliknya turut terbentuk secara aktif di media sosial seperti TikTok, X dan Facebook yang secara tidak langsung membentuk budaya, perbualan dan perubahan sosial.
YB Datuk Ts. Mustapha turut menekankan cabaran jurang digital yang masih ketara, terutamanya di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak, yang mengekang peluang belia untuk terlibat secara aktif dalam pembangunan kepimpinan digital.
Beliau memetik dapatan bahawa ramai belia menyedari kepentingan celik digital untuk menjadi pemimpin, namun masih berdepan kekangan dari segi akses kepada peranti, internet serta peluang bimbingan.
Katanya, i‑FUTURE merupakan antara platform penting bagi merapatkan jurang tersebut dan melahirkan pemimpin muda yang bukan sahaja mahir teknologi, tetapi turut bertanggungjawab terhadap kesejahteraan sosial dan nilai kemanusiaan.
i‑FUTURE merupakan inisiatif kebangsaan KPT semenjak tahun 2024 dan telah dianjurkan di pelbagai universiti lain dengan edisi kali ini merupakan yang pertama diadakan di Sabah dan menjadi platform keterangkuman kepada mahasiswa daripada pelbagai latar belakang, merentas institusi dan bidang pengajian.
Antara pengisian utama program termasuk ceramah oleh Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Sabah, Ratnawaty Talib bertajuk “Cyber Youth: Navigating AI In A Dangerous Digital World” serta forum “Youth x AI: Youth Navigating the Digital Future” yang membincangkan peluang dan cabaran teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan belia bersama panel daripada industri dan kalangan mahasiswa.
Dalam ucapannya, YB Timbalan Menteri turut menyarankan lima (5) pendekatan penting yang boleh memperkukuh kepimpinan digital dalam kalangan belia iaitu mengukuhkan literasi digital, menggunakan media sosial secara bijak, mendapatkan bimbingan, menggalas tanggungjawab sivik serta mengamalkan kepimpinan berasaskan etika dan nilai murni.
Hadir sama Naib Canselor, Datuk Profesor Dr. Kasim Hj Mansor serta barisan pengurusan tertinggi UMS yang lain.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 714