IINTAS UIAM Perkukuh Peranan Malaysia Dalam Wacana Serantau

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan Institut Pengajian Antarabangsa dan ASEAN (IINTAS) bersempena Seminar Antarabangsa "ASEAN Futures: Navigating Regionalism, Reconciliation and Rapprochement" anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di ibu negara siang tadi.
YAB Perdana Menteri telah diwakili oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang turut membacakan teks ucaptama beliau yang bertajuk "ASEAN’s Strategic Horizon In a Fragmented World".
Tegasnya, penubuhan IINTAS merupakan satu langkah strategik untuk memperkukuh peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN melalui penyelidikan berwibawa, analisis dasar dan cadangan strategik.
IINTAS diharap menjadi pusat pemikiran yang mampu membina kerjasama dengan rakan strategik ASEAN dan rakan dialog antarabangsa termasuk Amerika Syarikat, China, India, Jepun dan Kesatuan Eropah.
Dalam pada itu, Seminar ASEAN Futures anjuran UIAM pagi tadi turut menjadi platform membincangkan kestabilan, pembinaan kepercayaan dan kerjasama serantau demi mengukuhkan komuniti ASEAN.
Majlis juga telah menyaksikan pelancaran buku Education of the Interior: Essays in Honour of Professor Syed Ali Ashraf suntingan Prof. Shaikh Abd Mabud yang menghimpunkan esei sarjana terkemuka, Prof. Syed Ali Shraf mengenai integrasi ilmu dan akhlak dalam pendidikan.
Menurut YAB Perdana Menteri, pendidikan perlu membentuk karakter dan kejelasan tujuan agar teknologi, termasuk kecerdasan buatan, dimanfaatkan secara beretika.
Justeru, beliau menekankan kepentingan nilai sejagat untuk mengukuhkan keharmonian antara agama di tengah ketidaktentuan global.
Jelasnya lagi, Kerajaan kekal komited mengimbangi kecemerlangan akademik dengan tanggungjawab sosial melalui lima (5) teras pendidikan tinggi termasuk pembentukan karakter, penyelidikan berjiwa dan budaya kampus sejahtera.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara UIAM dan rakan strategik antarabangsa bagi memperkukuh jaringan penyelidikan dan kolaborasi akademik.
Turut hadir, Canselor UCSI, YAM Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan; serta Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 284