Holdings Universiti Awam Perlu Jadi Pemacu Kelestarian Kewangan IPT

10 Mei 2026 | Lumut, Perak
Syarikat milikan Universiti Awam (UA) atau Holdings, perlu memainkan peranan lebih strategik sebagai pemacu kelestarian kewangan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, UA kini tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada peruntukan Kerajaan seperti sebelum ini.
Beliau berkata, pengurangan keupayaan fiskal Kerajaan menuntut pendekatan baharu yang lebih kreatif dan mampan bagi memastikan UA terus berdaya saing.
Menurut beliau, Holdings mesti berfungsi dengan matlamat utama membantu UA menjana pendapatan dan bukan sekadar bergerak sebagai entiti korporat yang terpisah.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutup Permukiman (Retreat) YB Menteri Pendidikan Tinggi bersama Pengurusan Tinggi Universiti Awam dan Syarikat Milikan Universiti Awam di sini pagi tadi.
Katanya, UA dan Holdings perlu mempunyai komunikasi yang jelas serta perkongsian matlamat yang sama agar keputusan strategik dapat dibuat secara bersama.
Beliau menegaskan bahawa kekuatan sebenar terletak pada keupayaan kedua-dua pihak untuk membentuk satu pasukan yang saling memahami dan bukannya bergerak secara berasingan.
Tambah beliau, pengalaman tokoh korporat, bekas penjawat awam kanan dan pemimpin industri yang menerajui LPU serta Holdings merupakan aset besar kepada pembangunan UA.
Beliau berharap permukiman seperti ini dapat diteruskan setiap tahun agar ia menjadi platform menilai kejayaan dan memperkukuh lagi hubungan strategik antara semua pihak.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Naib Canselor UA; Pengerusi LPU dan barisan kepimpinan Holdings UA.
- Last updated on .
- Hits: 38
