Mahasiswa UIAM, UniKL dan Tashkent State University Ungguli PABM Piala Perdana Menteri 2026

9 Mei 2026 | Kuala Lumpur
Bahasa Melayu wajar diangkat melangkaui peranannya sebagai alat komunikasi semata-mata, sebaliknya perlu dimartabatkan sebagai wahana pemikiran dan jambatan peradaban yang mampu menyatukan masyarakat global, sejajar dengan sejarahnya sebagai lingua franca.
Hasrat tersebut dizahirkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapan perasmian yang disampaikan secara dalam talian dari Uzbekistan sempena Majlis Penutup Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2026 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di sini semalam.
Beliau berkata, dalam era kecerdasan buatan (AI) serta ledakan maklumat yang menuntut kepantasan, penggunaan bahasa yang tepat, santun dan beradab menjadi semakin penting kerana bahasa bukan sahaja mencerminkan kematangan intelektual sesebuah masyarakat, malah membentuk wajah tamadun sesuatu bangsa.
Sehubungan itu, Bahasa Melayu akan terus diperkukuh sebagai tunjang utama pembinaan Akal Budi Nusa (brain of the nation) dalam ekosistem pendidikan tinggi negara, demi melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu dan berdaya saing, tetapi turut berteraskan nilai serta jati diri yang kukuh.
Penganjuran edisi ke-16 yang membawa tema “Bahasa Melayu: Jambatan Peradaban Global” itu menyaksikan penyertaan seramai 174 peserta dari 21 buah negara, sekali gus membuktikan keupayaan bahasa Melayu sebagai medium pengucapan intelektual di pentas antarabangsa.
Prakarsa memartabatkan bahasa ibunda ke persada dunia ini turut memperlihatkan kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Tourism Malaysia dan Yayasan Perkasa Siswa dalam memperluas peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, budaya dan diplomasi serantau.
Pada majlis kemuncak tersebut, peserta tuan rumah bersama dari Universiti Kuala Lumpur, Amna Masood, telah dinobatkan sebagai juara bagi kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM).
Bagi kategori Antarabangsa pula, Abdullayeva Madinabonu Nizomiddin Qizi dari Tashkent State University of Oriental Studies muncul sebagai johan, manakala Aiena Batrisyia Sulaiman dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengungguli kategori Alam Melayu.
Kejayaan tersebut membolehkan ketiga-tiga johan membawa pulang hadiah wang tunai utama bernilai RM10,000 berserta piala iringan hasil keupayaan mereka menyampaikan pidato dengan hujah yang bernas, gaya penyampaian yang meyakinkan serta penguasaan bahasa yang cemerlang.
Hadiah-hadiah pertandingan telah disampaikan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Encik Ahmad Rizal Adnan.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan) JPT, Prof. Dr. Zainal Amin Ayob; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dato' Amir Azhar Ibrahim; Pengarah Bahagian Ehwal Pelajar JPT merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa, Hirman Awang; serta Pengarah Program PABM 2026, Nor Aina Aqilah Ahmad Fadzil.
- Last updated on .
- Hits: 36
