Belia Dan TVET Pemacu Pembinaan Komuniti Global Masa Depan

Belia Dan TVET Pemacu Pembinaan Komuniti Global Masa Depan

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menegaskan bahawa belia ialah pemacu utama dalam menjayakan gagasan Komuniti Global Berkongsi Masa Depan (Build a Global Community of Shared Future, GCSF) yang mampan, adil dan inklusif.

Beliau berkata kreativiti, tenaga dan keberanian golongan muda akan menentukan keupayaan negara menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dunia.

Menurutnya, di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, hubungan Malaysia–China diperkukuh melalui deklarasi bersama GCSF.

Beliau menjelaskan bahawa kerjasama pendidikan tinggi, penyelidikan bersama dan pertukaran budaya membuka peluang baharu kepada belia dalam ekonomi digital, teknologi hijau dan industri kreatif.

Kuasa Usaha (Charge d’Affaires) Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Malaysia, Zheng Xuefang turut hadir menyampaikan ucaptamanya yang menekankan peranan dialog belia, pendidikan dan pertukaran budaya sebagai asas persahabatan jangka panjang Malaysia–China.

Program turut diisi dengan forum interaktif bertajuk “Daripada Lokal ke Global: TVET untuk Masa Depan Bersama” yang menampilkan YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud sendiri; serta Ahli Dewan Undangan Negeri Rawang merangkap Pengarah Eksekutif Centre of Regional Strategic Studies (CROSS), YB Chua Wei Kiat; dan Presiden juga Pengasas Management and Science University (MSU), Prof. Tan Sri Dato’ Wira Dr. Mohd Shukri Ab Yajid.

Forum tersebut menegaskan bahawa TVET memacu pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri semasa dan bertindak sebagai jambatan belia Malaysia ke persada antarabangsa.

YB Datuk Ts. Mustapha dalam ucapannya turut berharap agar generasi muda tampil sebagai juara inovasi, duta keamanan dan arkitek komuniti global masa depan, seiring dengan tema besar program GCSF.

Program ini dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Kemanusiaan Asia Tenggara (Southeast Asia Research Centre for Humanities, SEARCH) dengan kerjasama MSU serta disokong oleh CROSS dan Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Malaysia.  

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 752
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 24 Oktober 2025, 04:17:19.

logo-sirim