Bacaan Surah Yasin dan Solat Sunat Tasbih Perkukuh Ukhuwah, Suburkan Kerohanian Warga KPT

Bacaan Surah Yasin dan Solat Sunat Tasbih Perkukuh Ukhuwah, Suburkan Kerohanian Warga KPT

10 Julai 2026 | Putrajaya

"Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada manusia yang lain." — Hadis Riwayat Ahmad

Sabda Rasulullah SAW ini menjadi pedoman bahawa kecemerlangan sesebuah organisasi bukan sahaja diukur melalui pencapaian dan prestasi, malah turut diperkukuh dengan penghayatan nilai kerohanian, ukhuwah serta amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Berlandaskan semangat tersebut, Program Bacaan Surah Yasin dan Solat Sunat Tasbih telah berjaya dilaksanakan pada pagi tadi di Surau Ibadurrahman, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Program anjuran bersama Surau Ibadurrahman KPT, PUSPANITA Cawangan KPT dan Kelab Sukan dan Kebajikan KPT itu menghimpunkan para pegawai kanan KPT, ahli PUSPANITA serta warga KPT dalam suasana penuh harmoni, keinsafan dan keberkatan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim dan isteri, YBhg. Datin Murni Muda, selaku Pengerusi PUSPANITA Cawangan KPT.

Bacaan Surah Yasin telah dipimpin oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, manakala Solat Sunat Tasbih diimamkan oleh Al-Fadhil Ustaz Harun Abdul Halim dari Unit Integriti KPT.

Program ini bukan sekadar menjadi medan memperkukuh silaturahim, malah mengimarahkan Surau Ibadurrahman sebagai pusat penyatuan warga KPT dalam menyemai nilai ihsan, integriti dan kebersamaan.

Pengisian kerohanian seperti ini turut mencerminkan komitmen KPT dalam membudayakan nilai murni serta mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni, sejahtera dan diberkati.

Semoga setiap amal ibadah yang dilaksanakan diterima Allah SWT, dikurniakan rahmat dan keampunan-Nya, serta menjadi sumber kekuatan kepada seluruh warga KPT dalam melaksanakan amanah memartabatkan pendidikan tinggi negara.

  • Last updated on .
  • Hits: 73
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 10 Julai 2026, 10:17:09.

logo-sirim