Dialog Apa Khabar Siswa Bersama YAB TPM, Perkukuh Kefahaman Mahasiswa Terhadap Hala Tuju TVET Negara

9 Julai 2026 | Pasir Gudang, Johor
Kerajaan terus memperluas akses Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada semua lapisan masyarakat sebagai usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta menyokong agenda pembangunan ekonomi negara.
Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ketika Program Apa Khabar Siswa Bersama DSZH di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) petang tadi yang menghimpunkan lebih 1,000 mahasiswa daripada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam sekitar Negeri Johor.
Beliau berkata TVET kini berkembang sebagai pilihan utama dalam kalangan lepasan sekolah berikutan peningkatan keyakinan masyarakat terhadap prospek kerjaya, gaji premium dan permintaan berterusan industri terhadap tenaga kerja mahir.
Menurut beliau, Kerajaan turut membuka laluan yang lebih luas kepada lepasan sekolah agama, maahad tahfiz dan institusi pondok untuk mengikuti TVET menerusi laluan kemahiran yang diiktiraf sebelum melanjutkan pengajian ke IPT.
Beliau berkata pendekatan itu membuktikan bahawa latar belakang pendidikan bukan lagi penghalang untuk melahirkan jurutera, tenaga profesional dan pekerja mahir, malah pengalaman pelajar tahfiz dalam bidang teknikal menunjukkan mereka mampu menyesuaikan diri dengan baik serta memiliki disiplin dan daya tumpuan yang tinggi.
YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid berkata pembangunan bakat melalui TVET perlu diperkasakan bagi memenuhi permintaan tenaga kerja berkemahiran tinggi, khususnya dalam sektor strategik yang dipacu pelaburan baharu termasuk pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, berkata program berkenaan memberi peluang kepada mahasiswa mendapatkan penjelasan secara langsung mengenai dasar Kerajaan di samping menyampaikan pandangan dan cadangan berkaitan pendidikan tinggi, pembangunan bakat serta masa depan negara.
Sepanjang sesi dialog itu, mahasiswa mengemukakan pelbagai persoalan berkaitan TVET, kebolehpasaran graduan, pembangunan ekonomi Negeri Johor, peluang pekerjaan, penglibatan belia dalam pembangunan negara dan hala tuju pendidikan tinggi yang dijawab secara terbuka oleh kepimpinan Kerajaan.
Program itu turut menyaksikan penyampaian Bantuan Care4U daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS) kepada penerima yang layak serta pengumuman bahawa Baucar Buku Kementerian Pendidikan Tinggi boleh mula ditebus mulai 15 Julai 2026 sebagai antara inisiatif kerajaan membantu kebajikan mahasiswa.
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; serta barisan pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti serta IPTA.
- Last updated on .
- Hits: 89
