ASEAN: UKM-BlackBerry Meterai MoU Bangunkan Tenaga Mahir Digital Tempatan Dan Serantau
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyokong penuh jalinan kerjasama antarabangsa bagi memperkukuh daya tahan siber serantau dan meningkatkan kebolehsaingan industri di peringkat ASEAN.
Komitmen tersebut disuarakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Abd. Kadir ketika berucap menyaksikan majlis tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) pendidikan strategik antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan BlackBerry Technology Malaysia Sdn. Bhd. di sini siang tadi.
Pemeteraian MoU ini berlangsung di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, menyerlahkan kepentingan kerjasama keselamatan digital dan pembangunan bakat di rantau ini.
YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry menegaskan bahawa perkongsian ini adalah selaras dengan agenda kementerian untuk mengantarabangsakan pendidikan tinggi Malaysia sambil menangani ancaman digital semasa.
Kerjasama ini akan melahirkan kumpulan pakar pertahanan siber dan jurutera perisian tempatan yang mempunyai kemahiran teknikal serta nilai etika yang tinggi untuk memacu masa depan digital Malaysia.
Pelajar UKM akan mendapat pendedahan dunia sebenar melalui kurikulum yang relevan dengan industri, latihan amali, dan pensijilan global daripada BlackBerry.
Kerajaan Kanada, melalui Menteri Perdagangan Antarabangsany, TYT Maninder Sidhu, menyifatkan kerjasama ini sebagai demonstrasi bagaimana inovasi Kanada membantu membina ekonomi digital masa hadapan yang selamat dan dipercayai.
Usaha ini akan melengkapkan pemimpin masa depan Malaysia dengan kemahiran untuk mempertahankan negara daripada ancaman siber yang kompleks pada hari ini dan juga pada masa hadapan.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif BlackBerry, John J. Giamatteo; Duta Kanada ke ASEAN, TYT Ambra Dickie; dan Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 167