UPNM Johan Debat Perdana Integriti Piala Perdana Menteri 2025

UPNM Johan Debat Perdana Integriti Piala Perdana Menteri 2025

Usaha melahirkan generasi belia progresif dan berintegriti tinggi terus diperkasa melalui penganjuran Pertandingan Debat Perdana Integriti Piala Perdana Menteri (DPIPPM) 2025 yang telah disempurnakan kemuncaknya oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di Universiti Utara Malaysia (UUM) semalam.

Hadir mewakili YAB Perdana Menteri, YB Menteri dalam ucapannya menegaskan bahawa KPT memandang serius peranan universiti sebagai tapak semaian untuk melahirkan pemimpin masa depan yang berprinsip dan jujur.

Beliau menzahirkan rasa bangga dengan kualiti perbahasan 60 pasukan yang bertanding, yang disifatkan sebagai modal insan berkualiti tinggi yang diperlukan negara.

Penganjuran ini merupakan kerjasama strategik antara Institut Integriti Malaysia (IIM), UUM, Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) dan Yayasan PEACE.

Objektif utamanya adalah untuk mempromosikan pembudayaan nilai etika dan kesedaran pengukuhan integriti dalam kalangan pelajar.

Pada pusingan akhir semalam, pasukan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Kumpulan A diumumkan sebagai Johan, manakala pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) meraih gelaran Naib Johan.

Tempat ketiga dan keempat pula masing-masing disandang oleh UPNM Kumpulan B dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Anugerah Pendebat Terbaik Keseluruhan, Pendebat Terbaik Pusingan Akhir, dan Anugerah Khas Yayasan PEACE telah dimenangi oleh Mohamad Idham Hafizi Zainuddin dari pasukan UPNM Kumpulan A.

Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Ts. Ahmad Ramzan Daud; Setiausaha Politik Kanan kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman; dan Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Fo'ad Sakdan. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 622
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 Disember 2025, 09:37:58.

logo-sirim