ASEAN: KPT Perkasa Literasi Agama Rentas Budaya Serantau
Usaha memperkasa literasi agama rentas budaya di peringkat serantau merupakan langkah penting dalam merealisasikan aspirasi Visi Komuniti ASEAN 2045.
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menerajui penganjuran ASEAN Cross-Cultural Religious Literacy Forum yang julung-julung kali diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) petang tadi.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, forum tersebut menjadi wahana penting untuk membentuk kepimpinan beretika dan berjiwa besar bagi memupuk budaya damai serta persefahaman sejagat.
Beliau menegaskan bahawa kepelbagaian di rantau ini harus diraikan, bukan sekadar bertolak ansur, sebagai satu pengiktirafan terhadap kemanusiaan sejagat.
"Kita tidak harus sekadar bertolak ansur terhadap kepelbagaian, kita mesti meraikannya. Perayaan terhadap kepelbagaian ini bukanlah idealisme yang naif, tetapi satu pengiktirafan terhadap kemanusiaan.
Ia mencerminkan keupayaan kita (ASEAN) dalam memperoleh kekuatan daripada perbezaan dan kebijaksanaan melalui dialog," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penganjuran forum ini selari dengan gagasan Malaysia MADANI yang merupakan satu visi peradaban mengharmonikan iman dan akal.
Forum tersebut dijayakan melalui kolaborasi strategik antara KPT, Leimena Institute Indonesia, STRATSEA, dan Pusat Kajian Keamanan, Dialog dan Xenofobia (PEDIXS) UIAM.
Penganjuran forum melibatkan penyertaan tokoh akademik dan pemimpin masyarakat sivil dari pelbagai negara ASEAN melalui dua (2) sesi utama.
Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman; Rektor UIAM, Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar; dan Direktur Eksekutif Leimena Institute, Matius Ho.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 165