Pakar Arkeologi USM, Prof. Emerita Datin Paduka Dr. Siti Zuraina Dinobatkan Tokoh Akademik Negara AAN Ke-16

Pakar Arkeologi USM, Prof. Emerita Datin Paduka Dr. Siti Zuraina Dinobatkan Tokoh Akademik Negara AAN Ke-16

Pakar arkeologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Emerita Datin Paduka Dr. Siti Zuraina Abdul Majid, telah dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara Ke-16 dalam majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) yang telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir petang tadi.

Beliau diiktiraf atas penemuan saintifiknya sejak akhir 1970-an yang telah merevolusikan pemahaman prasejarah Malaysia, terutamanya penemuan rangka 'Perak Man' dengan kecacatan genetik 10,000 tahun lalu yang menyumbang kepada sejarah sains perubatan dan genetik.

Penyelidikan beliau di Lembah Lenggong juga menemui teknologi alat batu paleolitik tertua di Asia Tenggara dan mengesahkan peranan Lenggong sebagai laluan migrasi manusia dari Afrika ke Australia.

Hasil sumbangan besar beliau itu telah berjaya membawa kepada pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2012.

Sebagai Tokoh AAN Ke-16, beliau yang juga merupakan penerima Anugerah Merdeka membawa pulang sebuah trofi, sijil dan wang tunai bernilai RM200 ribu.

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapannya menegaskan peranan para sarjana dalam membentuk pemikiran manusia dan tamadun sesebuah negara.

"Dan demikianlah negara yang kita huni ini tidak akan membentuk rupanya seperti yang ada pada hari ini kalau sekiranya tidak ada sumbangan daripada para ahli akademik sekalian".

Pada masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para akademia yang sedang membantu Kementerian dalam membangunkan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM 2026-2035).

"Saya berterima kasih kepada kalangan para sarjana kita, ahli akademik kita yang betul-betul sungguh-sungguh untuk memastikan supaya anjakan besar untuk sistem pendidikan tinggi negara ini dapat dilakukan untuk tempoh 10 tahun yang akan datang.

Kita harapkan ianya akan memberi impak yang besar kerana pendidikan tinggi sekarang sudah berubah. Sistem yang kita pakai sebelum ini mungkin tidak lagi dapat digunakan pada hari ini khususnya dalam konteks pedagogi, dalam konteks kurikulum dan lain-lain lagi", ujarnya.

Selain Anugerah Tokoh Akademik Negara, majlis AAN Ke-16 turut meraikan lapan (8) lagi penerima anugerah dalam pelbagai kategori lain.

Penerima Anugerah Pengajaran ialah Dr. Manraj Singh Cheema (Universiti Putra Malaysia, UPM), Prof. Dr. Haslinda Ibrahim (Universiti Utara Malaysia), dan Dr. Rahimah Jamaluddin (UPM), manakala Ts. Dr. Mohamad Fitri Mohamad Haris (UUM) memenangi Anugerah Seni dan Kreativiti.

Turut menerima anugerah ialah Prof. Madya Dr. Gan Wee Chen (Universiti Xiamen Malaysia) dan Prof. Madya Dr. See Kok Fong (USM) bagi Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal; Prof. Madya Dr. Norhayati Mohd Noor (USM) bagi Anugerah Penerbitan Buku; serta Prof. Madya Dr. Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan (USM) bagi Anugerah Inovasi & Pengkomersialan Produk.

AAN merupakan usaha berterusan KPT sejak tahun 2006 untuk mengiktiraf ahli akademik negara, di mana penerima dipilih berdasarkan pencalonan IPT yang dinilai oleh jawatankuasa pakar akademik dan industri.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Penyelidikan dan Akademik), Prof. Dr. Zainal Amin Ayub; Pengarah Bahagian Kecemerlangan Akademik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof. Madya Dr. Azidah Abu Ziden; serta Naib Canselor USM selaku penganjur bersama, Dato' Seri Prof. Dr. Abdul Rahman Mohamed. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 272
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 31 Oktober 2025, 08:38:15.

logo-sirim