Anugerah Pendidik Global Lonjak Malaysia Sebagai Hab Pendidikan Antarabangsa

Anugerah Pendidik Global Lonjak Malaysia Sebagai Hab Pendidikan Antarabangsa

Malaysia berazam untuk mengukuhkan kedudukannya di persada pendidikan antarabangsa dengan penganjuran sulung Anugerah Pendidik Global (GEA), sebuah inisiatif strategik untuk meletakkan negara sebagai hab kecemerlangan pendidikan global.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, dalam ucapannya menyifatkan anugerah anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini sebagai satu usaha Malaysia untuk menghimpunkan para pendidik yang komited dari seluruh dunia.

Inisiatif yang dicetuskan oleh YB Menteri ini dilihat sebagai langkah penting untuk membuka ruang kerjasama, mengukuhkan hubungan profesional, dan memastikan bilik darjah di Malaysia sentiasa terhubung dengan dunia.

Edisi pertama GEA mencatat penyertaan antarabangsa yang memberangsangkan dengan 244 pencalonan daripada 57 negara, melibatkan 16 finalis terbaik dari 9 negara yang bersaing merebut pengiktirafan tertinggi dalam pelbagai kategori utama.

Antaranya, Anugerah Guru Avant-Garde (Avant-Garde Teacher Award) telah disampaikan kepada Deep Narayan Nayak, yang dikenali sebagai 'Teacher of the Streets' dari India, manakala Cheah Gaik Imm dari SJKC Chung Hwa, Langkawi, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pemimpin Pendidikan Berinspirasi (Inspiring Educational Leader Award).

Turut diiktiraf ialah Prof. Julio Manuel Pereyra yang memenangi Anugerah Pendidik Jangkauan Komuniti (Community Outreach Educator Award), African Leadership Academy dari Afrika Selatan bagi Anugerah Institusi Pendidikan Bertransformasi (Transforming Educational Institution Award), dan Prof. Dr. Pasi Sahlberg dari University of Melbourne, Australia, yang menerima Anugerah Pendidik Guru Terhormat (Esteemed Teacher Educator Award).

Usaha ini juga sejajar dengan kerangka dasar negara seperti Falsafah MADANI dan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035, yang menyokong sistem pendidikan berorientasikan masa depan dan berpaksikan nilai.

Melalui anugerah ini, Malaysia bukan sahaja meraikan para pendidik, tetapi juga secara aktif menyumbang kepada naratif pendidikan global sambil memperkukuh hubungan diplomasi melalui kuasa lunak (soft power) pendidikan.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, YB Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Pro-Canselor UPSI, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom; Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI (Pemangku), Prof. Emerita Dr. Roziah Omar; dan Naib Canselor UPSI, Dato' Prof. Dr. Md. Amin Md. Taff. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 499
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 24 Oktober 2025, 04:17:19.

logo-sirim