KPT Semarakkan Budaya Integriti, Perkukuh Tata Kelola Baik
Integriti yang mencerminkan kejujuran, ketelusan serta tanggungjawab merupakan asas utama dalam memastikan kemakmuran, keadilan dan kesejahteraan negara selaras dengan tema Hari Integriti Nasional 2025, "Integriti Teras Kesejahteraan Negara".
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Integriti Nasional Peringkat KPT Tahun 2025 yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan.
Majlis yang berlangsung di Dewan Za'aba, KPT ini merupakan acara kemuncak bagi pelbagai aktiviti yang telah direncanakan sepanjang bulan September hingga November 2025 oleh Unit Integriti KPT.
Penganjuran sambutan ini adalah selari dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh pentadbiran berteraskan integriti dan akauntabiliti yang menjadi antara fokus utama dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman dalam ucapannya berkata, usaha memperkukuh integriti telah menunjukkan hasil apabila Malaysia melonjak ke kedudukan ke-23 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2025, namun sasaran negara untuk mencapai kedudukan 25 terbaik dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) masih perlu dipergiatkan.
Majlis tersebut turut diisi dengan Sesi Rakaman Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk "KPI di Sisi Allah" yang menghubungkan amalan pentadbiran moden dengan tuntutan kerohanian.
Beliau menjelaskan bahawa tajuk forum ini amat signifikan dalam memberi pencerahan bahawa Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dari perspektif Islam tidak hanya diukur pada kuantiti, tetapi pada kualiti amalan yang ikhlas, amanah dan dilaksanakan dengan kesungguhan.
Justeru, beliau berharap agar semua warga kerja KPT dapat membulatkan tekad dan berganding bahu untuk terus komited membudayakan integriti dalam setiap tugasan demi memastikan ekosistem integriti terus berkembang di segenap peringkat.
Program ini telah dianjurkan oleh Unit Integriti KPT dengan kerjasama strategik daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Education Malaysia Global Services (EMGS), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).
Turut hadir Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid; Ketua Pegawai Perniagaan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Mizan Masram; Perunding Kanan Education Malaysia Global Services (EMGS), Ramlan Abd Aziz; dan Ketua Unit Integriti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mazlina Jalani.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 607