Air Mata Gembira Di Sepanggar: KPT Serah Surat Tawaran IPT Ke Pintu Rumah

Air Mata Gembira Di Sepanggar: KPT Serah Surat Tawaran IPT Ke Pintu Rumah

“Saya sangat gembira YB Timbalan Menteri sendiri datang serah depan rumah. Saya anak bongsu dan bukan mudah untuk saya buat keputusan berjauhan dengan keluarga.”

Noreqah Hamjan, 18, anak seorang pemandu lori dari Taman Puri Warisan, Sepanggar menahan sebak ketika ditemui selepas menerima surat tawaran melanjutkan pengajian ke Politeknik Seberang Perai dalam bidang Teknologi Maklumat yang diserahkan sendiri oleh YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

Suasana bertukar sebak apabila ibu Noreqah, Alnah Sadjiril turut meluahkan perasaannya. “Kami bukan orang senang, tidak pernah sekolah. Hanya pendidikan sahaja yang boleh ubah corak hidup kami. Saya berdoa dia terus cemerlang jadi insan solehah dan dapat menyumbang kepada masa depan negara,” katanya perlahan.

Bukan Noreqah seorang, Barbara Tracy Barry, seorang lagi pelajar dari keluarga B40 yang hanya tinggal bersama ayahnya, turut menerima surat tawaran. “Saya mahu berjaya untuk ubah nasib kami. Ayah dah banyak berkorban,” katanya sambil menggenggam erat surat yang diterima.

Program Penyerahan Surat Tawaran Kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) secara rumah ke rumah yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini memasuki minggu kedua pelaksanaannya di Sabah, menyasarkan pelajar dari kawasan luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah.

YB Datuk Ts. Mustapha berkata, program ini bukan sekadar menyerahkan surat tawaran tetapi tanda bahawa Kerajaan MADANI hadir bersama rakyat, menyantuni sampai ke pintu rumah untuk membawa semangat dan harapan kepada anak-anak Sabah.

“Saya sendiri orang kampung. Saya mahu berikan pendedahan kepada para pelajar bahawa kita sentiasa ada peluang untuk belajar dan yang penting tahu hala tuju masing-masing. Sebab itu, saya turun sendiri, supaya mereka tahu mereka masih ada banyak pilihan,” ujar beliau penuh emosi.

Minggu pertama program ini telah dilaksanakan di kawasan Kota Belud manakala minggu kedua memberi tumpuan kepada pelajar sekitar Sepanggar.

Sebanyak lima (5) buah rumah pelajar telah dikunjungi pada hari ini, melibatkan pelajar yang berjaya memasuki Universiti Awam dan Politeknik di seluruh negara sebelum program diteruskan semula pada hari esok.

Selain penyerahan surat, KPT turut menyampaikan bantuan yang disediakan termasuk Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM1,500, Dermasiswa B40 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bernilai RM4,800 bagi satu semester serta sumbangan tunai RM500 daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS) kepada setiap pelajar yang diziarahi.

Inisiatif ini turut disertai oleh Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) seperti UMS, UiTM, Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) serta agensi-agensi di bawah KPT seperti PTPTN dan YPS.

Program ini menjadi sebahagian daripada inisiatif KPT mendekati masyarakat luar bandar Sabah secara bersemuka, membuktikan bahawa pendidikan tinggi bukan lagi milik eksklusif bandar tetapi hak setiap rakyat Malaysia dari kampung terpencil ke menara gading. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 96
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 15 Julai 2025, 07:22:36.

logo-sirim