AI Takrif Semula Peranan Universiti, Malaysia Sedia Lahirkan Graduan Pembentuk Masa Depan

23 Julai 2026 | Sepang, Selangor
Kecerdasan buatan (AI) tidak akan menghapuskan fungsi universiti, sebaliknya mentakrif semula secara asas peranannya sehingga Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) perlu melahirkan graduan yang bukan sahaja mudah mendapat pekerjaan, malah berupaya mencipta peluang, memacu inovasi dan membentuk masa depan negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata perubahan landskap teknologi, dunia pekerjaan dan pembelajaran menuntut universiti beralih daripada sekadar menghasilkan tenaga kerja kepada melahirkan individu yang memiliki kebijaksanaan, keupayaan menyesuaikan diri, kepimpinan beretika serta pembelajaran sepanjang hayat sebagaimana digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
"AI boleh menjana maklumat tetapi tidak mampu menggantikan kebijaksanaan, AI boleh memproses data tetapi tidak boleh menggantikan pertimbangan, dan AI boleh mengautomasikan keputusan tetapi tidak boleh menggantikan nilai," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Presiden Agensi Kelayakan Malaysia bagi Universiti 2026 (Malaysian Qualifications Agency Presidents' Forum for Universities 2026) di sini hari ini.
YB Menteri berkata ukuran kejayaan universiti pada masa hadapan bukan lagi bergantung kepada bilangan graduan yang memperoleh pekerjaan, sebaliknya sejauh mana graduan berupaya menyelesaikan masalah kompleks, memimpin masyarakat, mencipta peluang kepada orang lain dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Beliau turut menegaskan jaminan kualiti perlu dilihat sebagai aset strategik negara kerana kepercayaan terhadap sistem pendidikan tinggi menjadi faktor utama yang mengukuhkan pengiktirafan kelayakan, mobiliti pelajar serta keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi.
Menurut beliau, Malaysia juga akan terus memainkan peranan memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi ASEAN melalui perkongsian ilmu, pengiktirafan kelayakan, penyelidikan rentas sempadan dan kepimpinan bersama bagi membina ekosistem pendidikan tinggi serantau yang lebih diyakini dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Forum julung kali anjuran MQA bagi Universiti itu menghimpunkan pemimpin universiti, agensi jaminan kualiti, pembuat dasar dan wakil industri dari negara-negara ASEAN bagi membincangkan kebolehpasaran graduan, transformasi digital, inovasi serta pembelajaran sepanjang hayat sebagai agenda utama pendidikan tinggi serantau.
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Majlis MQA, Prof. Emeritus Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; dan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Dato' Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran.
- Last updated on .
- Hits: 97
