KPT Perkukuh Kebolehpasaran Graduan Melalui Program Latihan Industri Aeroangkasa SKYGLOBAL di Turkiye

KPT Perkukuh Kebolehpasaran Graduan Melalui Program Latihan Industri Aeroangkasa SKYGLOBAL di Turkiye

23 Julai 2026 | Cyberjaya

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh agenda pembangunan bakat berkemahiran tinggi apabila seramai 20 pelajar cemerlang daripada sembilan universiti tempatan menerima surat tawaran bagi menyertai Program Latihan Industri Turkish Aerospace SKYGLOBAL 2026 di Ankara, Republik Turkiye dalam satu majlis yang berlangsung di sini hari ini.

Majlis penyerahan surat tawaran tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan disaksikan oleh Duta Besar Republik Turkiye ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dr. Nevzat Uyanık.

Program pembangunan bakat berimpak tinggi ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Konsortium Universiti Malaysia (CMU), Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), TUSAŞ Malaysia dan TUSAŞ Akademi Turkiye dalam usaha melahirkan modal insan berdaya saing yang mampu memenuhi keperluan industri aeroangkasa global.

Menerusi program ini, para peserta akan menjalani latihan industri secara langsung di fasiliti Turkish Aerospace di Ankara, dengan pendedahan kepada teknologi aeroangkasa terkini, amalan kejuruteraan bertaraf antarabangsa serta pengalaman bekerja dalam persekitaran industri sebenar. Pengalaman ini bukan sahaja memperkukuh kompetensi teknikal, malah membentuk kemahiran profesional, kepimpinan dan daya saing graduan di peringkat global.

Dalam ucapannya, YB Menteri menegaskan bahawa program ini selaras dengan aspirasi KPT untuk memperkukuh kolaborasi strategik antara universiti dan industri serta memperluaskan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara.

Beliau turut menyifatkan penyertaan pelajar dalam program ini sebagai satu pelaburan strategik dalam membangunkan bakat tempatan yang mampu menyokong aspirasi negara di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) serta memperkukuh ekosistem aeroangkasa negara.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, Program SKYGLOBAL telah memberi manfaat kepada 56 pelajar Malaysia yang berjaya menamatkan latihan di Turkiye. Lebih membanggakan, beberapa alumni program kini telah berjaya membina kerjaya bersama TUSAŞ, sekali gus membuktikan bahawa bakat dan keupayaan graduan Malaysia mampu memenuhi piawaian industri aeroangkasa bertaraf dunia.

Selain melahirkan modal insan berkualiti, kerjasama ini turut memperkukuh hubungan strategik antara Malaysia dan Republik Turkiye dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi dan pembangunan teknologi aeroangkasa, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama pada masa hadapan.

KPT berharap para peserta akan memanfaatkan peluang berprestij ini dengan penuh dedikasi, mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa dan kembali menyumbang kepakaran serta pengalaman yang diperoleh demi memperkukuh pembangunan industri aeroangkasa dan teknologi tinggi negara.

KPT juga yakin kejayaan kohort SKYGLOBAL 2026 akan terus menjadi inspirasi kepada lebih ramai mahasiswa untuk berani meneroka bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan dan daya saing Malaysia pada masa hadapan.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman dan Naib-naib Canselor daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim; Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Datuk. Ts. Dr. Massila Kamalrudin; Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dato' Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli; dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Leftenan Jeneral Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad.

  • Last updated on .
  • Hits: 118
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 23 Julai 2026, 10:20:40.

logo-sirim