SIARAN MEDIA
PROF. DR. MAS FAWZI MOHD ALI DILANTIK NAIB CANSELOR
UNIVERSITI TUN HUSSEIN ONN MALAYSIA (UTHM) KE-5
Sukacita dimaklumkan bahawa Prof. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang ke-5 bagi tempoh dua (2) tahun berkuat kuasa mulai 14 Julai 2025.
Prof. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali, 51 tahun, mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sistem Elektromekanikal dari University of Manchester Institute Science and Technology, United Kingdom pada tahun 1997 dan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekanikal (Penyelidikan) dari Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 2007. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar Hidupan dan Bumi di University of Tokoshima, Jepun pada tahun 2009.
Beliau memiliki pengalaman yang luas dalam tadbir urus universiti dan telah memegang pelbagai jawatan pentadbiran iaitu Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Siswazah; Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan; Pengarah, Pejabat Perancangan Strategik dan Pengurusan Risiko; Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Perhubungan Korporat) dan yang terkini sebagai Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kualiti), UTHM.
Selain itu, Prof. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali juga mempunyai pengalaman berkhidmat di sektor industri sebagai Jurutera Kalibrasi di Samsung Electronics Display Sdn. Bhd. dan Jurutera Industri di Sharp-Roxy Electronics Sdn. Bhd sebelum menyertai perkhidmatan awam pada tahun 2004.
Kementerian yakin, gabungan pengalaman pentadbiran dan lapangan yang beliau miliki adalah merupakan aset berharga yang akan membantu beliau menerajui UTHM menjadi pusat ilmu yang dihormati, inovatif dan relevan dengan keperluan semasa.
Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mantan Naib Canselor UTHM iaitu Dato’ Prof. Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim atas jasa dan bakti sepanjang menerajui UTHM sebelum ini.
Syabas dan tahniah!
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
14 Julai 2025
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 157