logo kpt black

SIARAN MEDIA

KPT KOMITED MENJADIKAN MALAYSIA SEBAGAI DESTINASI
PILIHAN PELAJAR ANTARABANGSA


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited memperkukuh kerjasama antara negara-negara serantau dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelajar antarabangsa. Sistem pendidikan yang terus berkembang selari keperluan semasa serta Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang berkualiti sehingga mendapat penarafan antarabangsa, menjadi faktor utama pelajar-pelajar antarabangsa memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan.

Sebagai usaha merealisasikan misi itu, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim telah mengadakan lawatan kerjanya ke Indonesia selama dua hari bermula 11 Julai 2025. Indonesia merupakan antara negara yang tertinggi menghantar pelajarnya menyambung pengajian di negara iaitu seramai 11,293 (sehingga Mac 2025). Beliau telah menghadiri beberapa program, mesyuarat dan kunjungan hormat kepada rakan sejawatnya yang telah membuka ruang luas serta peluang baharu kepada kerjasama dua hala antara negara tetangga ini.

Antara bidang kerjasama yang dipersetujui untuk diperkukuhkan termasuklah penyelidikan dan mobiiti pensyarah serta pelajar dalam bidang-bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi tenaga boleh diperbaharui dan aeroangkasa. Kerjasama antara IPT juga turut menjadi fokus merangkumi kolaborasi pendidikan tinggi yang telah terjalin. Sehingga Disember 2024, sebanyak 464 perjanjian kolaborasi antara IPT Malaysia dan Indonesia dibuat termasuk mobiliti pelajar dan pengajar untuk menjalani program pembangunan kapasiti.

Penawaran biasiswa kepada pelajar antarabangsa (Malaysia International Scholarship) yang ingin melanjutkan pengajian di IPT Malaysia turut ditawarkan dan sehingga Disember 2024, seramai 21 pelajar warga Indonesia telah menerima manfaat.

Education Malaysia Global Services (EMGS), sebuah agensi di bawah KPT memainkan peranan signifikan dalam mempromosikan pendidikan tinggi negara, terus mempergiat usaha promosi dan pemasarannya. Turut berlangsung ketika lawatan KSU KPT adalah program MEGA AYO KULIAH DI MALAYSIA 2025 di Jakarta pada Sabtu dengan penyertaan 21 IPT tanah air. KSU KPT dalam ucapannya turut mengalu-alukan lebih ramai lagi pelajar Indonesia ke Malaysia dan menjelaskan beberapa inisiatif signifikan seperti Graduate Pass iaitu kemudahan visa selama setahun selepas tamat pengajian yang telah dilancarkan semasa Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN di Langkawi, pada Jun 2025.

Selain itu, antara inisiatif lain adalah ASEAN Global Exchange Mobility and Scholarship (ASEAN GEMS) yang merupakan platform atas talian yang memberi maklumat biasiswa yang ditawarkan negara ASEAN. Sehingga kini, lebih 300 penyedia biasiswa menyertai dengan komitmen lebih RM19 juta yang boleh dimanfaatkan pelajar-pelajar untuk melanjutkan pengajian tinggi.

KPT yakin dengan usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelajar antarabangsa ini berupaya meningkatkan imej negara di mata dunia. Dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi yang selari keperluan semasa ini juga mampu membawa negara bersaing di peringkat global selari dengan teras Malaysia MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta serta keyakinan.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
13 Julai 2025

Muat Turun:

  pdf Siaran Media - KPT Komited Menjadikan Malaysia Sebagai Destinasi Pilihan Pelajar Antarabangsa(361 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 281
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 15 Julai 2025, 01:48:17.

logo-sirim