SIARAN MEDIA
KPT SAMBUT BAIK INISIATIF YAB PERDANA MENTERI, SALUR BANTUAN KEPADA
PELAJAR TERKESAN BENCANA DI ACEH
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut baik dan menzahirkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas keputusan Kerajaan Malaysia menyalurkan bantuan segera kepada pelajar Indonesia di Malaysia yang terkesan susulan bencana yang melanda wilayah Aceh dan Sumatera Utara.
Sebagai sebuah negara jiran yang mempunyai hubungan kekeluargaan dan sejarah persaudaraan yang akrab, KPT menyokong penuh usaha ini dalam memastikan kebajikan pelajar diberi perhatian, terutama ketika mereka berhadapan situasi getir jauh daripada keluarga.
Sehubungan itu, KPT melalui Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta akan mengambil tindakan segera untuk menyelaras pendaftaran serta penyaluran bantuan berjumlah RM500 seorang seperti yang diumumkan oleh Kerajaan. KPT juga akan memastikan semua proses dilaksanakan secara teratur bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.
Dalam masa yang sama, KPT turut mengambil maklum situasi rakyat Malaysia yang berada di Aceh, termasuk pelajar kita yang menuntut di beberapa institusi pendidikan di wilayah tersebut. Bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka juga terjamin, KPT memutuskan agar satu bentuk bantuan khusus turut dipanjangkan kepada kumpulan pelajar Malaysia yang terkesan, selaras dengan semangat kepedulian yang dizahirkan Kerajaan MADANI.
KPT kini sedang berhubung rapat dengan pihak Education Malaysia (EM) di Indonesia, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, serta pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan senarai lengkap pelajar Malaysia di Aceh dan menilai tahap keperluan mereka. Tindakan susulan akan diambil segera termasuk penyelarasan bantuan kewangan sebanyak RM500 seorang serta apa-apa bantuan tambahan yang diperlukan.
KPT berdoa agar semua mangsa bencana diberikan kekuatan menghadapi ujian ini dan mendoakan keselamatan seluruh pelajar Malaysia serta saudara-saudara kita di Indonesia. Kerajaan Malaysia melalui KPT kekal komited untuk memastikan tiada pelajar sama ada warga tempatan atau antarabangsa terbiar tanpa perhatian sewajarnya.
DR. ZAMBRY ABD KADIR
11 DISEMBER 2025
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 291