KENYATAAN MEDIA
ISU PENGIKTIRAFAN UEC : PRINSIP PERLEMBAGAAN, FALSAFAH
PENDIDIKAN KEBANGSAAN DAN KEDUDUKAN BAHASA MELAYU
MENJADI KEUTAMAAN
Selaras dengan kenyataan dan penegasan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung isu pengiktirafan UEC, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan bahawa sebarang cadangan berkaitan perkara ini mestilah berpaksikan Perlembagaan Persekutuan, selari dengan Rukun Negara serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan, dan tidak boleh diputuskan berdasarkan tekanan politik atau tuntutan sempit mana-mana pihak.
Pendirian Kerajaan MADANI kekal konsisten bahawa kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa ilmu merupakan prinsip asas negara yang tidak boleh dikompromi, dan prinsip ini terpakai kepada semua aliran pendidikan tanpa sebarang pengecualian.
Pada masa yang sama, KPT bersetuju dengan penegasan YAB Perdana Menteri bahawa semua aliran pendidikan sama ada Cina, Tamil, Arab, Inggeris mahupun sekolah antarabangsa wajib mengukuhkan penguasaan Bahasa Melayu, selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan serta aspirasi nasional dalam pembinaan jati diri dan perpaduan negara.
Di peringkat KPT, kementerian akan terus memperkukuh hala tuju pendidikan tinggi negara yang inklusif, progresif dan berdaya saing. Penekanan akan terus diberikan kepada penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa teras, bahasa teknologi dan bahasa ilmu, di samping pemerkasaan untuk Bahasa Inggeris serta bahasa-bahasa lain seperti Mandarin, Tamil, Arab dan bahasa-bahasa suku, dengan matlamat melahirkan bakat nasional yang multilingualisme, seimbang, berakar pada nilai kenegaraan serta mampu memenuhi tuntutan dan cabaran global.
DR. ZAMBRY ABD KADIR
12 DISEMBER 2025
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 337