logo kpt black

SIARAN MEDIA

DATO’ TS. DR. HAJI AMINUDDIN HASSIM MULAKAN TUGAS SEBAGAI KSU KPT


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini memulakan lembaran baharu kepimpinan pentadbiran dengan kehadiran YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim sebagai Ketua Setiausaha (KSU) baharu berkuat kuasa 11 Mei 2026. Pelantikan beliau menggantikan YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim yang telah bersara wajib pada 9 Mei lalu selepas menamatkan khidmat bakti dalam memperkukuh agenda pendidikan tinggi negara.

Ketibaan beliau di ruang legar KPT disambut oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBrs. Encik Ahmad Rizal Adnan yang turut memulakan tugas pada hari yang sama, bersama-sama barisan pengurusan tertinggi Kementerian. Beliau kemudiannya mengetik perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas rasminya sebagai peneraju pentadbiran KPT.

Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sekali gus membawa pengalaman luas dalam memastikan kesinambungan pembangunan bakat negara dari pendidikan asas hingga ke peringkat pendidikan tinggi. Pengalaman tersebut amat signifikan dalam memastikan graduan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta yang dilahirkan lebih berkualiti, kompetitif dan memenuhi aspirasi pembangunan negara.

Selain itu, pengalaman beliau menerajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberikan kelebihan besar dalam merangka hala tuju penyelidikan dan pembangunan universiti serta memperkukuh ekosistem inovasi negara. Beliau juga pernah menjawat jawatan strategik sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sekali gus membuktikan keupayaan kepimpinan rentas sektor yang luas dan berimpak tinggi.

Memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1994, beliau pernah berkhidmat di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan serta Kementerian Perladangan dan Komoditi. Dari sudut akademik, beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah dari York University, United Kingdom dalam bidang Ekonomi dan Pengurusan Alam Sekitar (Environmental Economics and Environmental Management ) selain Ijazah Sarjana dari University of Warwick serta Ijazah Sarjana Muda dari University of Central England, United Kingdom.

Gabungan pengalaman dalam pendidikan, inovasi, penyelidikan dan pentadbiran awam diyakini mampu menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035. KPT optimis kepimpinan beliau akan memacu transformasi pendidikan tinggi negara, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperkukuh daya saing Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia di peringkat serantau dan global.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
11 MEI 2026

Muat Turun:

  pdf Siaran Media - Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim Mulakan Tugas Sebagai KSU KPT(176 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 79
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 11 Mei 2026, 09:53:48.

logo-sirim