logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

YB DATO’ SERI DIRAJA DR. ZAMBRY ABD KADIR
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI
“PELAN PENDIDIKAN TINGGI MALAYSIA (PPTM) 2026–2035”


Assalamualaikum wbt dan Salam Malaysia MADANI.

Terima kasih kepada rakan-rakan media yang sudi hadir petang ini untuk saya berkongsi informasi dan maklumat berkenaan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026–2035.

Pengenalan

1. Kerajaan akan melancarkan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026–2035 mulai tahun hadapan sebagai hala tuju baharu sektor pendidikan tinggi negara untuk tempoh satu dekad akan datang.

2. Pelan ini adalah hasil kerja kolektif dan komitmen banyak pihak demi memastikan pendidikan tinggi Malaysia terus relevan, berdaya saing, berdaya tahan (resilient) dan siap siaga masa hadapan (future-ready).

Libat Urus Berskala Besar Merentas Semua pemegang taruh (Stakeholders)

3. Penyediaan PPTM telah dilaksanakan melalui proses libat urus dan kaji selidik yang luas dan inklusif, melibatkan lebih daripada lapan kelompok pemegang taruh utama, termasuk 8,226 pihak berkepentingan :

• Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta;

• Politeknik dan Kolej Komuniti;

• Industri dan majikan;

• Agensi kerajaan Pusat dan Negeri;

• Badan profesional dan pertubuhan masyarakat;

• Alumni dan kepimpinan mahasiswa;

• Para sarjana serta tokoh akademik;

• Wakil komuniti Sabah dan Sarawak serta semua kaum di Malaysia.

4. Ini menggambarkan bahawa pelan yang kita bangunkan bukan pelan KPT semata-mata, tetapi pelan negara yang dirangka bersama rakyat untuk kepentingan semua rakyat.

PPTM 2026-2035 Sebagai “Living Document” yang Dinamik

5. PPTM 2026–2035 dirangka sebagai dokumen dinamik atau living document.

6. Ini bermakna pelan ini tidak statik; ia akan disemak dan pelaksanaannya akan diperkemas secara berkala bagi memastikan:

• keupayaan menyesuaikan dasar dengan perubahan global;

• keupayaan menambah baik strategi mengikut keperluan semasa;

• kesediaan menghadapi teknologi memuncul (emerging technologies) seperti integrated engineering, Next generation AI, bioteknologi, teknologi kuantum, teknologi mampan dan lain-lain.

7. Pendekatan ini membolehkan strategi dan sasaran pelan dikemas kini dari semasa ke semasa tanpa menunggu tempoh pelan berakhir.

Ciri berpaksikan kemanusiaan (humanity-centric) sebagai teras strategik PPTM

8. Kemajuan teknologi mesti berjalan seiring dengan pembinaan nilai kemanusiaan.

9. Justeru, PPTM turut memberi penekanan kepada nilai moral, etika, integriti dan adab keilmuan yang bersifat universal dan selari dengan konteks Malaysia sebagai negara majmuk.

10. Kita ingin memastikan bahawa pendidikan tinggi melahirkan Pembina negara (nation-builders) berpaksikan kemanusiaan, dipacu matlamat (purpose-driven), kesejahteraan holistik, kemakmuran bersama (shared prosperity), berdaya tahan dan menerajui kemampanan.

AI sebagai pemboleh daya (enabler) utama PPTM

11. Seiring revolusi teknologi dan digital global, PPTM meletakkan Kecerdasan Buatan (AI) sebagai salah satu pemboleh daya utama pembangunan pendidikan tinggi negara.

12. Penekanan akan diberikan kepada:

• pembangunan kurikulum dan program akademik berasaskan AI;

• penyelidikan dan inovasi dalam bidang AI;

• penyediaan bakat dan profesional AI tempatan;

• integrasi teknologi AI dalam pengajaran, pembelajaran dan pentadbiran Pendidikan tinggi.

13. Visi kita ialah melahirkan pembelajar yang bukan sahaja celik digital, tetapi pencipta teknologi, bukan hanya pengguna.

Peluang Pendidikan Yang Lebih Luas untuk Lepasan STPM & Matrikulasi

14. Pelan ini turut menekankan peningkatan akses yang inklusif ke IPT bagi pelajar lepasan STPM dan Matrikulasi.

15. Langkah-langkah yang akan diambil termasuk:

• peluasan laluan kemasukan;

• pembukaan laluan fleksibel antara disiplin melalui perungkaian Pendidikan tinggi (unbundling of higher education);

• penyediaan lebih banyak program berimpak tinggi untuk lepasan kedua-dua aliran ini.

16. Matlamatnya jelas iaitu tiada bakat terpinggir, tiada pelajar yang tercicir daripada peluang pendidikan tinggi.

Pengukuhan Bahasa & Kemahiran Multilingual dan kompetensi global.

17. PPTM memberikan penekanan kepada pembangunan pembelajar yang multilingual dan berkompetensi global.

Bahasa Melayu diperkuatkan sebagai bahasa ilmu, termasuk dalam bidang teknologi dan AI;

Bahasa Inggeris terus diperkasa sebagai bahasa perantaraan global;

• perluasan penawaran bahasa seperti Bahasa Cina, Tamil, Arab dan bahasa-bahasa suku;

• pemerkasaan Bahasa Melayu di rantau ASEAN melalui kerjasama bersama Indonesia dan Brunei.

18. Kita ingin membentuk graduan Malaysia yang bukan sahaja mahir berbahasa Melayu, tetapi juga kompeten dalam pelbagai bahasa demi menguasai teknologi disruptif dan menghadapi dunia tanpa sempadan.

Malaysia sebagai Hab Pendidikan Serantau

19. Dengan strategi yang digariskan, PPTM menyokong aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia:

• hab pendidikan tinggi ASEAN;

• destinasi pilihan pelajar antarabangsa;

• pusat penyelidikan, inovasi dan teknologi masa hadapan.

20. Kita mendukung visi Malaysia sebagai negara MADANI — berdaya saing, berpaksikan nilai, serta berjiwa besar dalam mengemudi masa depan.

Penutup

21. PPTM 2026-2035 adalah komitmen kerajaan untuk melahirkan generasi Malaysia yang berpaksikan kemanusiaan dan dipacu matlamat, serta berilmu, berdaya tahan (resilent), berakhlak, berdaya cipta dan siap siaga masa hadapan (future-ready) demi menghadapi dunia yang sentiasa berubah.

22. KPT akan memastikan pelaksanaan pelan ini berjalan secara berfasa, tersusun dan inklusif.

Sekian, terima kasih.

Muat Turun:

  pdf Kenyataan Media - YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir Menteri Pendidikan Tinggi “Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026–2035”(177 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1025
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 13 Disember 2025, 00:02:22.

logo-sirim